Jakim ingatkan usah cemari imej Malaysia dengan LGBT

Jakim ingatkan usah cemari imej Malaysia dengan LGBT

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengingatkan semua pihak agar tidak cuba mencemarkan imej Malaysia sebagai negara Islam dengan perjuangan golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Ketua Pengarahnya, Datuk Mohamad Nordin Ibrahim berkata, amalan demokrasi tidak bermakna semua pihak boleh melakukan apa sahaja dalam memperjuangkan budaya yang bercanggah dengan undang-undang, ajaran agama, nilai dan norma masyarakat Malaysia termasuk LGBT.

Beliau menegaskan pihaknya kesal dengan tindakan sekumpulan peserta perarakan Hari Wanita Antarabangsa di ibu negara semalam yang menyokong golongan LGBT.

“Kita menolak sebarang usaha untuk mengiktiraf LGBT di negara ini selaras pendirian Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang jelas mengatakan bahawa Malaysia tidak boleh menerima sistem nilai diamalkan di negara barat iaitu LGBT dan perkahwinan sama jenis.

“Pendirian sama juga turut ditegaskan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof yang melarang sebarang usaha untuk mempromosikan LGBT di negara ini,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, beliau berkata, Jakim komited dalam menangani dan membantu golongan yang terjebak dengan gejala LGBT melalui program rawatan dan pemulihan yang dijalankan dari semasa ke semasa dengan kerjasama pelbagai pihak.