Jakim-Jain tidak sepadu tadbir institusi pondok, maahad tahfiz swasta

Jakim-Jain tidak sepadu tadbir institusi pondok, maahad tahfiz swasta

Prof Emeritus Datuk Dr Mahmood Zuhdi Ab Majid Kegagalan kerajaan menyeragamkan pentadbiran dan pengurusan Jabatan Agama Islam Malaysia (Jakim) dengan Jabatan/Majlis Agama Islam Negeri  secara bersepadu membabitkan institusi pondok dan maahad tahfiz swasta seluruh negara akan mengundang masalah yang berlarutan.

Pandangan ini dilontar Pengerusi Majlis Dakwah Negara (MDN) Profesor Emeritus Datuk Dr Mahmood Zuhdi Ab Majid berkata, masalah institusi pondok dan maahad tahfiz sudah lama menjadi ‘barah’ dalam masyarakat Islam di negara ini tanpa adanya ‘taske force’ di pihak kerajaan persekutuan.

Dakwanya sikap pemimpin dan pentadbir di peringkat persekutuan dan negeri yang hanya memberikan pandangan sepintas lalu terhadap sesuatu tragedi berlaku tidak akan dapat menyelesaikan masalah utama yang dihadapi pengusaha institusi pondok dan maahad tahfiz swasta di negara ini.

“Apa yang berlaku membabitkan kepincangan dan kedaifan sekolah pondok dan tahfiz di negara ini salah satu sebabnya berpunca daripada kelemahan pentadbir yang dipertanggungjawab di peringkat pusat dan negeri untuk memantau perkembangan institusi pondok dan maahad tahfiz swasta secara bersepadu.

“Bermula dari kerajaan, kementerian pendidikan, Jakim, jabatan/majlis agama Islam negeri dan pengusaha institusi pondok dan maahad tahfiz.

“Pemimpin dan pengurus hanya mempunyai pandangan sepintas lalu dan berfikir secara spontan serta bertindak berasaskan reaksi tetapi masalah tetap berulang dan tidak dapat diselesaikan.

“Ini disebabkan mereka yang diberikan tanggungjawab tidak bekerja secara efisen,” ujarnya kepada Malaysia Dateline.

Beliau mengulas mengenai trajedi yang berlaku di maahad tahfiz persendirian Madrasah Tahfiz Al Jauhar di Kota Tinggi Johor menyebabkan kematian seorang pelajarnya Mohd Thaqif Amin Mohd Gadafi yang berusia 11 tahun pada 26 April lalu.

Sedangkan sehari sebelum  pelajar itu meninggal dunia, Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak menyerahkan peruntukan sejumlah RM80juta kepada 819  penerima bantuan dari  Institusi Pondok, Maahad Tahfiz dan Sekolah Menengah Agama Rakyat seluruh negeri.

Ditanya mengenai dana yang diperuntukan itu, Dr Mahmood Zuhdi berkata, ia sesuatu yang baik tetapi tidak menjadikan sebuah pondok atau maahad tahfiz itu lebih tersusun dari segi pentadbiran dan pengurusan jangka panjang untuk kebajikan pelajarnya.

“Sudah tiba masanya institusi pondok dan maahad tahfiz ini di satukan dan diintegrasikan bagi keperluan jangka panjang pelajarnya.

“Bukan hanya menyediakan pendidikan Islam secara intensif semata-mata tetapi sebuah pondok dan maahad tahfiz itu mampu diuruskan dengan baik dan dapat melahirkan generasi muda Islam yang mempunyai kemahiran hidup untuk membantu mereka lebih berdikari,” ujarnya.

Rancang tubuh Pondok Perdana

Dr Mahmood Zuhdi berkata, melalui MDN sedang merancang untuk menjadikan institusi pondok dan maahad tahfiz diurus dan ditadbir di bawah satu bumbung yang akan dikenali sebagai Pondok Perdana.

Beliau memberitahu pada masa ini, beberapa Jain membabitkan Negeri Sembilan, Pahang dan Kedah ujarnya, telah berminat dengan ide MDN untuk membina Pondok Perdana sebuah pusat pengajian pondok dan tahfiz integrasi.

“Kita telah berurusan dengan beberapa buah negeri yang mana bersetuju untuk menawarkan tanah seluas 200 ekar  bagi membina Pondok Perdana sebagai sebuah institusi pengajian pondok dan tahfiz bersepadu di setiap negeri.

“Dari situ kita akan jadikan Pondok Perdana untuk memayungi kepada puluhan lagi pondok dan maahad tahfiz di negeri itu dari segi kebajikan dan keperluan pengusaha pondok dan tahfiz dengan satu sistem yang lebih terurus dan bersepadu.

“Buat masa ini kita sedang menyediakan kertas cadangan dan akan diserahkan kepada kerajaan negeri secara rasmi,” ujarnya.

Beliau berkata MDN akan menguruskan 200 ekar tanah itu kelak, melalui kerjasama dengan beberapa badan korporat yang berminat untuk membantu kerajaan negeri dan Jain bersama -sama untuk membangunkan institusi pondok dan maahad tahfiz di negara ini agar lebih holistik.

 

COMMENTS

Wordpress (0)