Malaysia Dateline

Jakim, Majlis Agama Islam didakwa ‘tidak berbunyi’ isu penjawat awam rasuah

Fungsi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Majlis-Majlis Agama Islam dipersoal kerana dilihat menyepi dalam isu rasuah dan salah guna kuasa dlaam kalangan penjawat awam.

Setiausaha Agung Majlis Perundingan Datuk Dr. Hasan Mad berkata, institusi Islam di peringkat Persekutuan dan negeri “tidak berbunyi” mengenai isu terbabit.

“Apakah mereka tiada peranan dalam mentarbiahkan penjawat awam atau korporat disyaki bergelumang dengan dosa atau bersekongkol dengan pengganas penggerak ekonomi hitam?,” soalnya dalam kenyataan di sini hari ini.

Selain itu, beliau juga berpendapat Unit Penyelarasan Pelaksanaan ICU, Jabatan Perdana Menteri (JPM) sudah tidak lagi relevan jika unit tersebut dilihat hanya mendiamkan diri tanpa mengatasi masalah terbabit.

Tegasnya, masalah ketirisan atau salah guna kuasa sepatutnya mudah dikesan jika mereka tahu sistem penyampaian awam dan korporat adalah efisyen dan dipantau rapi.

“Turut menjadi persoalan, mengapa agensi penguat kuasa terutamanya pihak berkuasa tempatan, Imigresen, Kastam, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) serta beberapa agensi lagi masih menikus seolah-seolah mereka tidak berdepan masalah sama.

Datuk Dr. Hasan Mad

Semalam, seramai 210 pegawai kanan dan 1,330 anggota PDRM dilapor terlibat dalam pelbagai kesalahan termasuk jenayah, salah laku dan dadah sepanjang tahun lalu.

Mereka didapati antara lain menyalahgunakan kuasa, terlibat dalam masalah disiplin, melakukan kelakuan dan melanggar prosedur polis serta didapati berhibur di premis-premis hiburan.

Mengulas lanjut, Dr. Hasan berkata, agensi kerajaan dan korporat perlu memutihkan setiap kakitangan mereka daripada barah dan gejala rasuah atau dipengaruhi pihak ekonomi hitam yang kini ddapati menguasai hampir semua institusi awam.

Jika pemutihan tidak berlaku dari dalam agensi, ujarnya, gejala rasuah dan salah guna kuasa tidak mungkin dapat diatasi.

“Diperkasa sehebat mana sekalipun termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sehingga penubuhan mahkamah jenayah rasuah, mana mungkin ia dapat dibanteras.

“Kita wajar memberikan penghormatan kepada PDRM diatas keikhlasannya mengakui 1,540 warganya terlibat jenayah dan salah laku selain ketegasan Ketua Polis Negara (Tan Sri Abdul Hamid Bador) dan beberapa pengarah lain bagi menangani barah ini,” tambah Dr. Hasan lagi.