Jakim menjadi pemangkin Islam bersifat rahmah

Jakim menjadi pemangkin Islam bersifat rahmah

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) seharusnya mengungguli agenda kesatuan ummah bagi membanteras gejala takfiri, taksub terhadap kumpulan dan pemimpin serta sikap melampau terhadap perbezaan antara pelbagai aliran pemikiran.

Menurut Naib Presiden Amanah Hasanuddin Mohd Yunus, Jakim turut menjadi badan pemangkin Islam yang bersifat rahmah kepada masyarakat Malaysia dengan mengambil kira realiti rakyat negara ini yang berbilang kaum.

“Mereka hauskan penyelesaian yang tuntas kepada berbagai-bagai konflik yang mungkin timbul dalam pembinaan negara bangsa,” katanya dalam satu kenyataan kepada Malaysia Dateline.

Sehubungan itu, jelasnya Jakim adalah saluran bagi Majlis Raja-Raja Melayu menyalurkan titah DYMM Raja-Raja untuk dibincangkan bersama dengan pihak eksekutif dan rakyat.

Di dalam keadaan kepimpinan kerajaan baru, katanya rakyat menuntut integriti yang tinggi, setiap jabatan kerajaan termasuk agensi agama.

“Agensi itu wajar bersih daripada salah guna oleh sebarang parti politik. Tidak ada lagi amalan menggunakan jentera kerajaan untuk kepentingan parti,”tambahnya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Hulu Langat berkata, Jakim dan agensi agama wajar menunjukkan contoh terbaik dalam penyampaian perkhidmatan, melaksanakan amalan terbaik (Best Practices), akauntabiliti dalam penggunaan dana awam, amalan penjimatan, penolakan rasuah sepenuhnya, sifar ketirisan dan membasmi pecah amanah.

“Organisasi Jakim dan agensi agama harus disusun untuk mempastikan tiada pertindihan dengan agensi-agensi agama lain di bawah JPM,” ujarnya.

Justeru, tambahnya, saranan Perdana Menteri Tun dr Mahathir supaya melaksanakan pentadbiran agama Islam selaras dengan panduan yang terdapat dalam al-Quran dan hadis-hadis yang sahih mesti disambut positif oleh masyarakat Malaysia.

Begitu juga, katanya cadangan Perdana Menteri untuk mewujudkan satu kumpulan cendekiawan Islam dan para ilmuan bagi mengkaji peranan Jakim sudah tentu memberi nilai tambah serta sumbangan solusi yang bermakna untuk kebaikan dan pembangunan Islam di Malayisa secara menyeluruh dan efektif.