Jakim minta orang ramai henti sebar gambar hina Nabi di media sosial

Jakim minta orang ramai henti sebar gambar hina Nabi di media sosial

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) meminta orang ramai untuk tidak berkongsi dan menyebarkan gambar penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW ke mana-mana media sosial.

Ia susulan laporan Unit Pemantauan Isu Hina Islam yang menerima mesej aduan mengenai penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW yang tersebar melalui aplikasi Whatsapp.

Melalui kenyataan yang dikeluarkan oleh Unit Komunikasi Korporat Jakim, penghinaan tersebut telah dikenalpasti dimuatnaik oleh akaun Facebook bernama Wendy Loong.

“Unit Pemantauan Hina Islam menerima jumlah yang sangat tinggi melalui aplikasi Whatsapp mengenai cakupan skrin penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW oleh akaun bernama Wendy Loong

“Melalui semakan dan carian di laman Facebook oleh unit tersebut, didapati akaun berkenaan sudah tidak dijumpai. Sama ada akaun tersebut telah ditutup atau dinyah aktif oleh pihak Facebook.

“Walaubagaimanapun, usaha untuk mengesan pemilik akaun tersebut tetap akan diteruskan dengan kerjasama agensi-agensi berkaitan,”katanya.

Sementara itu, Fb group bernama ‘Kiub Batu Itu Berhala’ telah ditukar kepada status tertutup (Closed Group) khusus untuk ahli group tersebut sahaja.

Justeru, pihak JAKIM menyeru supaya semua rakyat Malaysia menjaga keharmonian antara agama dan kaum di negara ini selaras dengan inisiatif Kerajaan menjadikan Malaysia sebagai Negara Rahmah.

“Sebagai pengguna aplikasi, usah dikongsikan gambar penghinaan tersebut dimana-mana platform komunikasi kerana dalam tidak sedar, kita telah menjadi penyebar penghinaan nabi walaupun akaun facebook tersebut telah dinyahaktif,” katanya.