Malaysia Dateline

Jakim minta pengguna waspada sebelum tular sesuatu isu

Baru-baru ini tular surat makluman Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) kepada Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) di media sosial berkenaan surat permohonan bagi skim premis makanan jenama Subway.

Makluman itu yang dihantar adalah susulan isu kawalan bahan mentah yang lemah serta penemuan penggunaan penapis air yang mengandungi komponen dari haiwan.

Menurut bahagian Pengurusan Halal Jakim, pemakluman itu sebagai penyelarasan dalaman antara Jakim dan JAIN.

“Pihak kami telah menerima penjelasan dari Jabatan Agama Islam Negeri berkenaan berhubung penularan surat tersebut dan berdasarkan maklum balas yang diterima mendapati ia telah diedar kepada kakitangan mereka tanpa mematuhi peraturan pengendalian dokumen kerajaan sehingga menjadi tular,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Jakim, pihak Jabatan Agama Islam Negeri berkenaan juga akan melakukan penambahbaikan dengan memberikan peringatan kepada semua pegawai dan kakitangan untuk sentiasa mematuhi tatacara pengendalian dokumen kerajaan agar perkara seperti ini tidak berulang lagi pada masa akan datang.

Katanya, keputusan menangguhkan semua permohonan skim premis makanan bagi rangkaian restoran jenama Subway adalah untuk memberi ruang kepada syarikat membuat pembetulan dan penambahbaikan yang sewajarnya supaya memenuhi standard Pensijilan Halal Malaysia setelah mengadakan perbincangan dengan Jakim.

Justeru, tegas Jakim masyarakat dan pengguna dinasihatkan agar lebih berwaspada sebelum menularkan sebarang berita berkaitan isu yang tidak diketahui status kebenarannya dengan merujuk pihak berautoriti agar tidak terjebak ke kancah fitnah dan salah faham sesama ummah yang akan menjejaskan keharmonian negara.

Untuk mengetahui produk dan premis makanan yang memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia, sila layari Portal Rasmi Halal Malaysia di www.halal.gov.my. Semakan juga boleh dilakukan melalui aplikasi telefon pintar Verify Halal.