Jakim nafi dakwaan lulus konsert Selena Gomez

Jakim nafi dakwaan lulus konsert Selena Gomez

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menafi sekeras-kerasnya dakwaan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bahawa kelulusan konsert artis luar negara, Selena Gomez dikeluarkan pihaknya.

Ketua Pengarahnya, Tan Sri Othman Mustapha berkata, ini kerana kelulusan penganjuran konsert berkenaan di luar bidang kuasa Jakim.

“Susulan laporan Malay Mail Online bertarikh 30 April 2017 yang bertajuk “Azmin tidak tahu, Jakim luluskan konsert Selena Gomez”, selaku saya dengan ini menafikan kenyataan Menteri Besar Selangor tersebut.

“Ini adalah kerana kelulusan persembahan seperti konsert dan sebagainya bukan di bawah bidang kuasa Jakim,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri Selangor meluluskan konsert ‘Selena Gomez – The Revival Tour’ yang berlangsung di Stadium Melawati Shah Alam pada 25 Julai 2016.

Susulan tindakan itu, Ketua Dewan Ulama Pas Selangor, Riduan Rahmat; Timbalan Ketua Pemudanya, Hanafi Zulkapli dan Ketua Muslimatnya, Wan Hasrina Wan Hassan menghantar memorandum bantahan di pejabat kerajaan negeri Selangor di Shah Alam pada 20 Julai 2016.

Insiden itu menjadi salah satu faktor kerjasama politik antara Pas dan PKR diputuskan kerana tindakan itu tidak menghormati parti Islam itu dalam Muktamar Pas di Kompleks Pas Kedah di Kota Sarang Semut, Kedah, Sabtu lalu.

Mengulas lanjut, Othman juga berkata, tuduhan melulu Azmin itu telah menjejaskan reputasi dan kredibiliti Jakim sebagai agensi yang bertanggungjawab menyelaras dalam pengurusan hal ehwal Islam di negara ini.

“Saya memohon kerjasama pihak yang berkaitan agar dapat merujuk terlebih dahulu kepada pihak Jakim sebelum membuat sebarang kenyataan berkaitan Jakim,” ujarnya.