Jakim perkenal Modul Pasca Perkahwinan elak perceraian

Jakim perkenal Modul Pasca Perkahwinan elak perceraian

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) hari ini melancarkan Modul Pasca Perkahwinan Islam, satu model rujukan ke arah memperkukuh institusi kekeluargaan serta mencegah peningkatan penceraian di kalangan umat Islam.

Dilancarkan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki di sini, modul pertama seumpamanya di dunia itu digubal berdasarkan lima objektif utama termasuk membantu pasangan bermasalah mengatasi konflik rumah tangga dan membentuk pasangan yang teguh akidah.

Digubal oleh 30 pakar daripada pelbagai disiplin ilmu, modul itu dibahagikan kepada empat fasa perkahwinan iaitu Fasa Bulan Madu melibatkan usia perkahwinan kurang lima tahun; Fasa Sehati Sejiwa (6 hingga 10 tahun); Fasa Semarak Kasih (11 hingga 20 tahun) dan Fasa Syurga Cinta (21 tahun ke atas).

Bercakap kepada pemberita kemudian, Asyraf berkata pelancaran modul itu sangat mustahak dan tepat pada masanya selaras dengan usaha kerajaan menangani pelbagai isu yang berkaitan kemelut institusi kekeluargaan khususnya kes penceraian.

“Saya amat teruja dan menyokong penuh usaha JAKIM dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) dalam membangunkan modul ini yang menyantuni keperluan pelbagai fasa perkahwinan yang boleh dijadikan rujukan dalam menangani pelbagai isu yang menjadi punca perceraian,” katanya.

Rekod menunjukkan antara 2012 hingga 2014, seramai 92,678 pasangan mendaftarkan penceraian di mana ada di antara pasangan terbabit berkahwin kurang lima tahun, dan perkembangan itu tidak seharusnya dipandang ringan.

Asyraf berkata masalah komunikasi, ekonomi, tidak memahami peranan masing-masing, gangguan emosi serta lemah didikan agama adalah antara punca perdaftaran penceraian dibuat, dan kesemua aspek itu diambil kira dalam penggubalan modul itu.

“Kursus praperkahwinan (yang perlu dilalui pasangan akan berkahwin) sahaja mungkin tidak mencukupi dalam mendidik pasangan kerana realiti perkahwinan adalah selepas berkahwin. Sebab itu, saya merasakan bahawa inisiatif penggubalan modul ini amat mustahak dan kena pada masanya”, katanya.

TAGS