Jakim perlu di beri nafas baru

Jakim masih relevan tetapi perlu diberikan nafas baru.

Sukacita kami merujuk kepada polemik hangat diperdebatkan kini, mengenai perkara di atas.

BiPPA mendengar dan meneliti segala pandangan yang dikemukakan pelbagai pihak dengan penuh perhatian. Bagi kami, perdebatan pasca PRU 14 yang sedang berlaku kini, adalah suatu yang sangat sihat dan bermanfaat.

Kami menganggap ia adalah suatu proses menyuarah terbuka dalam semarak demokrasi baru yang sama-sama kita raikan. Melalui cara ini, kita akan dapat melihat apa jua isu melalui sudut pandang yang luas, mengalisa dan menilainya, lalu merumuskan solusi terbaik menyeluruh dan tuntas.

Inilah antara ciri-ciri masyarakat madani (civil society) yang diimpikan oleh rakyat dan rakyat menuntut impian ini menjadi realiti melalui Kerajaan Pakatan Harapan.

Dalam membicarakan status di atas, sukacita kami merujuk kepada ayat Allah yang bermaksud:

“Sesungguhnya telah ada pada Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan hari (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah.”
(Al-Ahzaab (33) :21).

Dan hadis Nabi Muhammad SAW yang bermaksud

“Sesungguhnya, Islam itu adalah tertinggi. Dan, tiada yang lebih tinggi daripadanya” [Hadits hasan riwayat ar-Rawiyani, ad- Daruquthni, al-Baihaqi, adh-Dhiya’]

Justeru, bersesuaian dengan imej Islam adalah agama yang tertinggi dan semua institusi agama pula perlu menjadi contoh ikutan yang terbaik (uswatun hasanah), maka BiPPA berpendirian bahawa, JAKIM dan semua institusi yang menguruskan hal-ehwal Islam (termasuk Jabatan-Jabatan Agama Negeri) bukan saja masih relevan, malah perlu diberi nafas baru dan diperkasakan seutuhnya, sehinggalah institusi-institusi ini mampu mempamirkan kualiti tadbir urus yang terbaik dan cemerlang ke aras boleh menjadi model ikutan kepada semua agensi yang lain yang ada dalam Negara ini.

Sewajarnya, inilah yang seharusnya menjadi visi sesebuah institusi yang membawa risalah Islam.

Sehubungan dengan itu, demi mencapai visi yang tersebut di atas, semua institusi ini hendaklah menggubal polisi yang benar-benar ampuh yang yakin diri yang tinggi, memiliki sumber manusia yang terbaik (dari segi sahsiah, akhlak, kepakaran dan ketrampilannya) dan diberikan sokongan dana dan kemudahan yang terbaik dan bersesuaian dengan keperluan dan tanggungjawabnya.

Sesungguhnya, semua yang disebutkan ini, adalah antara mekanisme teras kejayaan semua organisasi, apatah lagi sebuah Jabatan seperti JAKIM dan Jabatan-Jabatan Agama Negeri.

Sesungguhnya, semua agensi yang berlabelkan Islam, wajib mempamirkan imej taqwa, ketaatan, saling menghormati, kerjasama, iltizam, kesaksamaan peluang dan pemanfaatan potensi semua anggotanya secara optimum.

Sumber manusia agensi-agensi Islam juga, seharusnya boleh dijadikan model rujukan dari segi integriti, pencapaian, kecekapan, amal soleh, kesabaran, keprihatian, kesabaran, keadilan, keikhlasan, amanah dan ihsan.

Kepimpinan institusi-institusi Islam wajib punyai ketrampilan bersesuaian dengan keperluan zaman masa kini – era abad ke 21 dan revolusi industry 4.0. Institusi agama wajar membina imej sebagai agensi yang proaktif, dinamik, inovatif dan penyelesai semua masalah umat.

Selain dari dari ilmu-ilmu teras Islam, mereka wajar menguasai pelbagai ilmu terkini yang berkaitan seperti sains, teknologi, sains sosial, psikologi, kaunseling dan bahasa-bahasa utama yang diperlukan.

Urusan di kaunter-kaunter perkhidmatan umpamanya, sewajarnya paling sitematik dengan piagam pelanggan dan polisi paling cemerlang di kalangan Jabatan-jabatan Kerajaan. Inilah antara pancaran cahaya bahawa ‘Islam itu adalah agama rahmat untuk sekalian alam’.

Sesungguhnya, nilai-nilai inilah yang mampu mengangkat martabat agensi-agensi Islam sehingga menjadi ‘menara tinggi’ yang dikagumi semua termasuk umat bukan Islam.

Adalah amat malang, jika ada sesebuah institusi dan agensi berlabel Islam terpalit dengan pelbagai gejala merosakkan imej Islam seperti pecah amanah, kelembaban, kezaliman, pembaziran, gejala takfir, imej mudah menghukum dan melabel, layanan yang kasar kepada pelanggan, tidak proaktif dan tenggelam dalam dunia keselesaan.

Sesungguhnya, semua Institusi Islam ada. adalah menjadi sandaran dan harapan umat dan negara.

Justeru, inisiatif Kerajaan Pakatan Harapan yang mahukan semua perkhidmatan kepada rakyat diberi nafas baru dan direformasikan, maka sebarang langkah untuk mengislah dan memberi nafas baru kepada agensi-agensi ini adalah amat dialu-alukan.

Pandangan kami sebagai rakyat, kedudukan Majlis Raja-Raja Melayu yang bertanggungjawab mengenai hal-ehwal Islam di peringkat negeri-negeri, hendaklah diperkasakan sewajarnya, bersesuaian dengan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Sebenarnya, telahpun wujud sebuah Majlis penyelaras yang dinamakan Majlis Kebangsaan Hal-Ehwal Islam Malaysia, yang bertanggungjawab terhadap semua institusi-institusi Islam seperti JAKIM dan lain-lainnya yang diselia oleh Kerajaan Persekutuan.

Majlis ini telah sekian lama diabaikan. Justeru, dalam hal ini, BiPPA mencadangkan Majlis ini diperkasakan semula.

Sehubungan dengan ini, cadangan terbaru YAB Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, untuk membentuk sebuah Jawatankuasa Tertinggi Islam yang terdiri daripada para ilmuan dan pakar pelbagai bidang – sama ada berkaitan agama atau bukan agama – bagi menasihat Kerajaan dalam melaksanakan reformasi dan islah semua institusi-institusi Islam di Malaysia, amatlah dialu-alukan.

Semoga usaha ini dipermudahkan Allah, dengan keberkatan dan kejayaan. Wallahuaklam.

 

* Pengerusi Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama (BiPPA)
Parti Keadilan Rakyat
1 JUN 2018