Malaysia Dateline

Jalan cerita menarik, Raya Online USIM cecah 50,000 tontonan

Berdepan dengan pandemik wabak COVID-19 dan kekangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak mematahkan semangat sekumpulan siswa Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) untuk menerbitkan iklan Hari Raya USIM 2020 Raya Online’ sempena menyambut 1 Syawal nanti.

Dihasilkan dan terbitkan dengan kerjasama Pusat Komunikasi Strategik (Stracomm), iklan berkenaan telah mula ditayangkan secara rasmi di saluran YouTube USIMTV dan Facebook USIM pada 15 Mei (Khamis) lalu.

Ternyata tradisi USIM yang menerbitkan iklan hari raya saban tahun sejak 2013 dengan mengangkat pelbagai tema dan kisah membuatkan iklan raya terbitan USIM mempunyai kelompok peminat tersendiri yang menantikan tayangannya menjelang Aidilfitri.

Dalam masa yang singkat selepas lima hari ditayangkan hingga semalam (Rabu), ‘Raya Online’ telah mencapai 30,000 tontonan di saluran USIMTV dan mendapat lebih 22,000 tontonan serta 400 perkongsian di Facebook USIM.

Menurut Farhan Halim, penuntut Sarjana Muda Komunikasi, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan USIM yang bertindak selaku pengarah iklan ‘Raya Online’, keseluruhan konsep jalan cerita dan skrip asal yang telah dirancang terpaksa diubah kesemuanya pada saat akhir apabila Kerajaan menguatkuasakan PKP pada 18 Mac lalu bagi mengekang penularan COVID-19 diseluruh negara.

“Krew produksi iklan terdiri daripada sembilan orang pelajar USIM dari pelbagai fakulti dan sebahagian besar daripada kami terkandas di kampung, tidak dapat pulang semula ke kampus untuk meneruskan kerja-kerja penggambaran.

“Melihat tempoh PKP terus bersambung dan kekangan untuk meneruskan rakaman di lapangan, kami dapat idea hasilkan jalan cerita baharu berdasarkan situasi pelajar universiti yang terkandas di kampus dan berkemungkinan tidak dapat pulang beraya,” ujarnya.

Bagi penulis skrip dan turut berlakon sebagai watak utama iklan raya USIM kali ini, Syauqi Mardia Baharudin menjelaskan pelbagai kisah semasa yang dekat dihati rakyat Malaysia sepanjang tempoh PKP ini mereka masukkan secara tidak langsung dalam iklan tersebut antaranya Mak Cik Kiah, pembelian secara online, TikTok dan abang delivery service.

Turut ditonjolkan kelebihan memanfaatkan platform e-Dagang dan gadget terkini yang memudahkan perhubungan jarak jauh.

“Melihat sambutan yang diterima dan komen positif di media sosial, terasa berbaloi dan bangga dengan hasil kerja kami ini. Kerja-kerja pra-produksi, penggambaran dan suntingan semuanya mengambil masa selama dua bulan dan menariknya untuk penggambaran, kami berjaya siapkan dalam tempoh 24 jam sahaja. Ia dibuat secara indoor di dalam sebuah rumah sewa dan selebihnya di studio green screen Stracomm.

“Saya membawakan watak utama dalam Raya Online 2020 sebagai Aydeen Mardia, seorang siswa USIM berasal dari Kota Marudu, Sabah yang tidak dapat pulang ke kampung kerana terkandas di kampus akibat PKP.

“Tidak mahu terus dibelenggu rasa sedih dan kecewa akan beraya berjauhan buat kali pertama, dia tetap ingin meraikan kemeriahan Aidilfiltri dengan bantuan ‘jarak jauh’ oleh ibu dan adiknya.

“Cumanya sesuatu telah menimpa pada Aydeen di pagi Hari Raya yang mengejutkan beliau. Mesej yang ingin kami bawakan melalui iklan tahun ini ialah ‘Jauh dekat bukanlah ukuran, Syawal dirai, Kekeluargaan dieratkan,” ujar pelajar Sarjana Muda Undang-undang dan Syariah ini.

Dalam perkembangan berbeza, sebagai tanda sokongan moral kepada barisan hadapan dan mendoakan rakyat Malaysia untuk terus kuat dan bersatu hati dalam menempuh detik-detik sukar akibat COVID-19, USIM melalui Pusat Kebudayaan turut melancarkan sebuah lagu khas yang berjudul ‘We Pray For A Better World’.

Dinyanyikan oleh warga kampus dan alumni, ia turut menampilkan artis terkenal tanah air untuk berpadu suara bersama antaranya Dato’ Nash, Dato’ Ramli Sarip, Syura, Ayu Damit, Farawahida, Sahri, Rosma dan Akma.
Turut membuat penampilan khas dalam lagu ini adalah Ketua Setiausaha Kementerian Kerjaraya, Datuk Dr. Syed Omar Sharifuddin Syed Ikhsan.