Malaysia Dateline

Jalan di Bangsar sesak lepas kontraktor turap jalan waktu puncak, DBKL balas akan ‘sekolahkan’ mereka

Orang ramai meluahkan rasa marah selepas sebahagian lorong di Jalan Travers, Bangsar ditutup gara-gara kerja-kerja menurap jalan dilakukan awal pagi ketika orang ramai bergerak ke tempat kerja.

Penutupan jalan ketika waktu puncak awal pagi itu menyebabkan kesesakan jalan dan melewatkan perjalanan orang ramai.

Dalam satu video yang dikongsi semula oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mereka memberitahu bahawa kontraktor-kontraktor tersebut adalah kontraktor DBKL.

Tangkap layar dari video dikongsi orang awam

Bagaimanapun mereka sama sekali tidak bersetuju apabila kerja-kerja turap jalan dilakukan pada awal pagi sehingga mengganggu kelancaran lalu lintas.

“Apahal lah masa ini pergi buat kerja turap? Pagi ini Min (admin) terima satu hantaran dari sahabat Min, dia ni pun kerja DBKL juga.

“Tahulah nak cepat tapi tu lah. Timing buat kerja langsung tak fikir orang lain padahal dah dimaklumkan waktu kerja yang sepatutnya. Lokasinya di Jalan Travers, Bangsar,” kata DBKL.

Laman itu juga memaklumkan bukan sahaja orang awam marah, kakitangan DBKL juga marah mengetahui akan hal itu.

“Jadi jangan ingat anda je marah, orang DBKL pun marah juga.

Confirm kejap lagi kontraktor yang terlibat kena panggil dengan pegawai DBKL yang berkenaan, kena sekolahkan sikit,” katanya lagi.

Pada masa sama, DBKL turut memohon maaf kepada orang ramai yang mengalami kesulitan awal pagi semalam atas kerja-kerja turap jalan yang dilakukan.