Jalan di tiga daerah Terengganu ditutup akibat banjir

Jalan di tiga daerah Terengganu ditutup akibat banjir

Susulan banjir di Terengganu menyebabkan beberapa jalan di tiga daerah iaitu Besut, Setiu dan Hulu Terengganu terpaksa ditutup setelah dinaiki air.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu, Left Kolonel Che Adam A Rahman berkata di Besut, Jalan Seberang Jerteh/Pachakan di dua lokasi iaitu di Kampung Beris Baru dan Kampung Nangka-Kampung Lampu ditutup kepada kenderaan ringan.

“Begitu juga Jalan Bulatan Che Salmah/Kampung Raja dan Jalan Jabi/Kampung Oh/Pasir Akar ditutup kepada kenderaan ringan.

“Jalan Kuala Terengganu/Kota Bharu di Kampung Tok Dor dan Kampung Lak Lok juga ditutup kepada kenderaan ringan manakala Jalan Jertih/Pasir Akar/Keruak di Kampung Jerubun ditutup kepada semua jenis kenderaan,” katanya.

Sehubungan itu, orang ramai dari Kuala Terengganu yang ingin ke Kota Bharu disarankan menggunakan laluan pantai untuk destinasi kedua-dua arah.

Di Setiu tiga jalan yang dinaiki air ialah Jalan Caluk/Bukit Putera, Jalan Pengkalan Merbau/Pelong dan Jalan Permaisuri/Hulu Seladang yang kesemuanya ditutup kepada kenderaan ringan.

Di Hulu Terengganu, Jalan Bukit Perah/Kampung Jak/Kuala Kejir ditutup untuk kenderaan ringan manakala Jalan Matang/Nibong/Kuala Telemong ditutup kepada semua jenis kenderaan.

TAGS