‘Jalan-jalan di Turki jangan ikut pintu belakang’, Azmin dikecam netizen

Oleh ARIF ATAN

Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dilihat menerima kecaman bertalu-talu daripada orang ramai ekoran tularnya gambar menteri itu di lokasi masjid ikonik di Turki, Hagia Sophia.

Warganet bahkan secara menyindir mengaitkan dengan pembentukan kerajaan Perikatan Nasional (PN) serta kontroversi video aksi intim di bilik hotel di Sandakan yang gempar dua tahun lalu.

“Jalan-jalan di Turki tu ikut pintu depan tau. Jangan ikut pintu belakang,” perli Awang Muhammad Hanifa.

Pengguna Facebook, JH Kiew pula mengingatkan Azmin yang juga Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) agar tidak lupa melunaskan segala perbelanjaan.

Enjoy tak dekat Turki? Jangan lupa bayar bil pelancongan ya kali ini, nanti kena saman lagi,” sindirnya.

Lebih 1,700 komentar dalam tempoh 15 jam dimuatnaik majoritinya kecaman membanjiri ruangan komentar di Facebook Azmin.

Terdahulu, dia yang dikaitkan dengan Langkah Sheraton itu memuat naik hantaran berkaitan vaksinasi sebagai usaha untuk mengawal penularan jangkitan Covid-19.

“Wow! Seronok berjalan ke Turki. Rakyat disuruh duduk rumah. Kau sekeluarga terbang ke sana,” dakwa Suhana Mat Lazim.

Sementara itu, ada juga kecewa kerana rakyat lama ‘terkurung’ kesan larangan rentas negeri ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pegerakan (PK) tetapi sebaliknya tidak bagi Azmin sekeluarga.

“Seronok bercuti dengan keluarga? Orang lain di sini (Malaysia), nak ziarah mak ayah pun tak boleh. Anda seronok bawa keluarga jalan-jalan ke luar negara,” keluh Akmal Farid Fuad.

Foto Azmin di perkarangan Hagia Sophia di Turki bersama seorang ejen pelancongan tempatan tular di media sosial apabila ayat “… dan keluarganya (Azmin)” telah dipadam daripada siaran di Instagram Turkey Local Guides.

Azmin yang juga Pengarah Pilihan Raya PN dan Ahli Parlimen Gombak itu dilaporkan berada di Eropah untuk lawatan rasmi.

Sebelum ini, dia berada di Austria untuk bertemu dengan Menteri Persekutuan bagi Hal Ehwal Digital dan Ekonomi Austria, Dr Margarete Schramböck.