Jalan keluar baru selesaikan sewa rumah tertunggak di Kuala Lumpur

Jalan keluar baru selesaikan sewa rumah tertunggak di Kuala Lumpur
Penonton di studio TV Hijrah bergambar dengan Khalid selepas siaran langsung malam tadi.

Para penyewa rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang tidak mampu membayar sewa akan mempunyai jalan keluar baru bagi menyelesaikan masalah mereka – kerja sambilan.

Melalui pendekatan ini, DBKL melalui kontraktor mereka akan menyediakan kerja sambilan untuk penghuni ini di kawasan kejiranan mereka bagi membantu mereka membayar sewa rumah.

“Kita akan membuat pilot projek mengenai perkara ini tidak lama lagi,” kata Khalid Samad, Menteri Wilayah Persekutuan dalam siaran langsung rancangan ‘Sila Duduk Jangan Lari’ di TV Hijrah malam tadi.

Menurut Khalid, walaupun sewa rumah DBKL serendah RM124 sahaja sebulan, tetapi DBKL menghadapi sewa tertunggak yang mencecah jutaan ringgit.

Namun begitu, DBKL tidak boleh menghalau sahaja penyewa yang tidak mampu membayar sewa itu kerana faktor kemanusiaan dan tanggungjawab sosial.

Melalui pendekatan kerja sambilan, DBKL berharap dapat mengurangkan jumlah sewa tertunggak itu melalui potongan pendapatan kepada kerja sambilan yang diberikan.

Antara kerja-kerja yang dikenal pasti adalah kerja-kerja pembersihan dan penjagaan pokok di kawasan kejiranan mereka.

Sebelum ini, DBKL memperkenalkan “Skim Bantuan Sewa DBKL”.

Inisiatif yang diberikan oleh DBKL kepada masyarakat terutamanya yang berpendapatan rendah, miskin serta tidak mampu membayar sewa rumah serta mempunyai tunggakan yang tinggi bertujuan mengurangkan kadar kemiskinan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Menurut Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, sehingga tahun 2017 sahaja, ada RM1.9 bilion sewa tertunggak dari penyewa PPR di seluruh negara dan yang terbesar di Kuala Lumpur.