Malaysia Dateline

Jalan keluar buat ‘Haters Pakatan Harapan dan Mahathir’

Ketika genderang Pilihanraya Umum Ke-14 (PRU-14) sudah dipalu dan dijangka berbaki beberapa bulan sahaja lagi untuk Najib Tun Razak membubarkan Parlimen, suara-suara kritikal semakin jelas ketika Pakatan Harapan (PH) diuar-uarkan menamakan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon Perdana Menteri.

Penolakan ini mudah difahami memandangkan mantan Perdana Menteri selama 22 tahun itu amat sinonim dengan rantaian tragedi duka aktivis-aktivis oposisi ketika beliau di puncak kuasa. Permohonan maaf yang dilontar kelmarin juga – walau dituntut ramai pihak sebelum itu – telah diperlekeh sebagai ‘tidak ikhlas’ dan ‘maaf orang politik’.

Terkini telah bergerak kerja-kerja propaganda membandingkan kepimpinan Najib dan kepimpinan Mahathir ketika keduanya memimpin jemaah menteri. Barisan Nasional (BN) dan Pas kelihatannya mahu menjustifikasi Najib lebih baik, sementelah organ penerangan PH dilihat terus menyerang kebobrokan Najib, walau tidak atau belum lagi masuk ke ‘mode’ mempertahankan Mahathir. Dilema pastinya menyelubungi pihak yang tolak BN, Najib dan Pas, tetapi tidak setuju dengan PH dan Mahathir. Kelompok mahasiswa dan aktivis yang tersangkut di tengah-tengah ini wujud dan masih tetap di situ. Sekali-sekala memunculkan diri dalam protes dan forum-forum awam.

Keadaan ini berlarutan lama dan telah muncul pun gerakan-gerakan kempen ke arah undi rosak dan boikot undi yang dimaklumi umum, pasti memenangkan BN. Lantas bagaimana? Nah, mari kita berbincang dan melontar pandangan. Sekurang-kurangnya buat bekal dan pertimbangan aktivis-aktivis di luar yang masih belum menentukan destini perjuangan.

Kalau pun sudah terlewat, jauh lebih baik dari terus bergundah-gulana sekadar meluah di muka buku. Mudah-mudahan mampu menggarap tenaga yang berbaki untuk melengser BN dan memancang reformasi menyeluruh.

Cadangan ini mungkin sukar, tapi berbaloi jika dijayakan; iaitu, ditubuhkan sebuah parti politik baharu, dipimpin orang muda dan bercitra nasional. Sebuah parti politik dengan garapan idea bernegara yang lebih ampuh dan berpengaruh daripada Mahathir dan Najib. Parti ini pula mesti sekurang-kurangnya bertanding sebanyak 112 kerusi Parlimen dalam PRU-14 dan menyasarkan pembentukan kerajaan di peringkat Persekutuan. Maaf, ini bukan olok-olok, apa lagi cadangan yang main-main sifatnya.

Masa sudah tidak banyak dan rakyat memerlukan ketumbukan politik yang meyakinkan. Kalau sekadar bergerak atas nama NGO dan bertanding beberapa Parlimen atas tiket bebas, itu bukan kerja serius. Malah tidak berpadanan dengan nilai aktivisme dan semangat perubahan yang membuak-buak. Isu kewangan pastinya tidak menjadi masalah asalkan sahaja mampu diyakinkan publik dengan dasar dan tawaran polisi unik dan holistik.

Ketika Emmanuel Macron menubuhkan La République En Marche! (LaREM), sosok itu tidak merintis jalan mudah. Bukan sedikit yang pesimis, apa lagi yang bertindak untuk menggagalkan. Kesemua cabaran ditempuh dengan semangat perlawanan jitu. Membina pasukan yang betul. Membentuk sukarelawan yang aktif. Tidak menyerah, apa lagi mengaku kalah. Bulan demi bulan bergerak dengan keterbatasan kewangan, namun akhirnya Macron dan LaREM dipilih majoriti rakyat Perancis dengan kemenangan penuh bergaya.

Nah, mengapa sebagai pemimpin muda PH aku mengusulkan pandangan ini? Kerana aku tidak mahu bakat muda dan tenaga berpengalaman ini terbazir dan akhirnya mengekalkan BN – tanpa mereka sedari. Aku mahu setiap inci langkah yang terhayun akhirnya membebaskan rakyat. Setidak-tidaknya, kalau PH gagal untuk meleraikan BN dari pautan kuasa, ada saingan politik lain yang mampu mengibarkan bendera perubahan di peringkat Persekutuan. Berjuang dan membentuk kerajaan baharu pasca PRU-14. Baik, aku selesai mencadang. Sekarang apa kata kalian? Berani sahut saranan ini?

*Penulis adalah Naib Ketua Pemuda AMANAH Nasional dan Pengarah Mobilisasi Pemuda HARAPAN Malaysia