Malaysia Dateline

Jalan Palestin ganti nama Jalan Raja Laut 1

Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan memberitahu nama Jalan Raja Laut 1 kini dikenali sebagai Jalan Palestin.

Menurutnya, cadangan untuk menukar nama jalan itu tercetus semasa Majlis Himpunan Hari Quds Sedunia di Dataran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada 26 hingga 31 Mei tahun lalu.

“Kementerian Wilayah Persekutuan memohon kepada DBKL untuk menamakan sebatang jalan di Kuala Lumpur sebagai Jalan Palestin.

“Menamakan Jalan Palestin itu sebagai simbol sokongan Malaysia kepada perjuangan rakyat Palestin dalam menentang penindasan dan seterusnya menubuhkan sebuah negara Palestin,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Nor Hisham berkata proses untuk mengenal pasti jalan yang sesuai sebagai Jalan Palestin mengambil masa agak lama kerana perlu dibuat secara teliti dan perlu melalui prosedur ditetapkan seperti penamaan jalan-jalan lain.

Semalam, Nor Hisham dan Duta Besar Palestin merasmikan nama Jalan Palestin.

“Ini menjamin dan memperluaskan hubungan dua hala antara kedua-dua negara yang bersaudara dan mengesahkan sokongan Malaysia dan rakyat Malaysia kepada Palestin dan rakyat Palestin,” dipetik dari Facebook MyAqsa.

Jalan Raja Laut 1 terletak dalam kawasan Chow Kit yang mengambil nama sempena tokoh penting penubuhan Kuala Lumpur.

Raja Laut (1850-1915) pernah dilantik sebagai Ahli Majlis Negeri Selangor yang bertindak sebagai hakim dan penghulu di kawasan Kuala Lumpur.

Almarhum juga dimashyurkan sebagai Raja Muda Selangor pada tahun 1898 dan bertanggungjawab membina sekolah Melayu pertama di Kuala Lumpur.

Datuk Bandar KL dan Duta Besar Palestin merasmikan nama Jalan Palestin semalam.