Malaysia Dateline

Jalan Pantai Miami rosak lagi akibat ombak besar

Baru beberapa minggu lepas, jalan pantai Seberang Takir yang menghubungkan kawasan itu dengan Jambatan Angkat (draw bridge) Kuala Terengganu siap dibaiki, ia hancur malam tadi apabila terkena pukulan ombak besar.

Jalan itu sesak teruk dengan sampah dan batu bertaburan di jalan tepi pantai yang dinamakan Pantai Miami oleh penduduk tempatan itu.

Ribut yang melanda Kuala Terengganu malam tadi telah datang dengan ombak besar yang menghempas pantai.

Jalan pantai Seberang Takir ini sangat popular dan menjadi tarikan pelancong dan orang ramai apabila ia menghubungkan pantai-pantai yang cantik dengan bandar Kuala Terenganu melalui jambatan angkat itu.

Di hujung jalan ini adalah Lapangan Terbang Kuala Terengganu dan pusat makanan ICT (Ikan Celop Tepung) yang popular di Kuala Terengganu, manakala di hujung satu lagi pula adalah jambatan angkat yang popular itu.

Dengan kejadian yang berlaku malam tadi, jalan ini terpaksa dibaiki untuk kesekian kalinya selepas sudah beberapa kali dibaiki kerana rosak selepas dilanda ombak.