Malaysia Dateline

Jalan penyelesaian kemelut politik negara

Politik bagi Ibnu Khaldun adalah suatu aspek yang paling mulia daripada kegiatan manusia. Ini kerana, menurutnya hanya manusialah, bukan makhluk lain, yang berpolitik dalam alam semesta ini. Kerana itu kewajipan manusia adalah menangani politik ini dengan aspek teragung daripada kewujudannya iaitu sesuai dengan kaedah moral dan agama.

Sama ada  sedar mahupun tidak, dunia politik hari ini semakin tercabut nilai-nilai moral dan etika sehingga menyebabkan perebutan dan pengekalan kuasa menjadi medan persaingan yang telah mencipta jurang persaudaraan dan kemanusiaan yang semakin lebar dan dalam. Sebagaimana dilihat oleh ramai pihak, mereka yang berada dalam dua kelompok berbeza saling menyalahkan antara satu sama lain dengan harapan apa yang ditimbulkan itu dapat mempengaruhi sokongan ramai.

Atas alasan itulah ada pihak yang menganggap politik itu sebagai seni pelbagai kemungkinan. Dari politik seseorang itu bukan lagi bertindak seperti apa yang diperjuangkan pada peringkat awal kemasukannya, tetapi lebih mencerminkan hakikat untuk mengekalkan kuasa dengan apa cara sekalipun.

Politik dalam pengertian moden dapat dihubungkan dengan pelaksanaan kekuasaan dalam masyarakat atau negara. Kekuasaan kenegaraan itu menjadi tajuk yang sangat penting dalam Islam, sebagaimana dapat dilihat di dalam al-Quran. Namun ditegaskan oleh Allah s.w.t. dalam bentuk yang tidak dapat diragukan lagi bahawa kekuasaan itu serta kemegahan yang biasanya menyertai kekuasaan itu, pada intinya adalah milik Allah s.w.t.

Akan tetapi, jatuh bangunnya kekuasaan itu bukan merupakan suatu peristiwa tanpa makna, kerana dalam penggiliran kekuasaan itu, Allah s.w.t. ingin memperlihatkan apa yang terbaik bagi umat manusia. Jadi terdapat suatu falsafah yang tinggi di sebalik turunnya kekuasaan itu, di sebalik jatuh bangunnya orang yang berkuasa itu. Namun di sebalik semua itu, hanya terdapat kebaikan yang berada di tangan-Nya.

Ada orang yang berpendapat bahawa apa yang dicabar oleh Ibnu Khaldun dalam bukunya itu pada dasarnya dapat disimpulkan dalam sebuah ayat al-Quran sahaja. Ayat itu adalah ayat yang mengatakan bahawa kejatuhan suatu bangsa disebabkan oleh kaum elit yang bermewah-mewah sehingga mendatangkan kesan buruk ke atas masyarakatnya (maksud al-Quran surah al-Isra ayat 16).

Dengan demikian pada akhirnya yang mereka peroleh hanyalah kehancuran total. Penguasa yang adil adalah penguasa yang berlaku adil terhadap hamba-hamba Allah dan menjauhkan diri daripada kerosakan. Sedang penguasa yang zalim adalah orang yang menimbulkan keburukan. Kekuasaannya tidak akan kekal dan abadi. Justeru Rasulullah s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud: Kekuasaan dapat kekal berserta kekufuran, tapi tidak akan kekal berserta kezaliman.

Dalam sejarah, kaum Majusi dapat menguasai dunia selama empat abad. Kekuasaan tetap berada di tangan mereka. Tepatnya kekuasaan itu hanya kerana keadilan mereka terhadap rakyat dan perhatian mereka secara merata. Di dalam hadis diceritakan bahawa Allah menurunkan wahyu kepada Nabi Daud. Katanya, Aku mencegahmu memaki para raja bangsa Ajam (bukan Arab). Sesungguhnya mereka telah memakmurkan dunia, dan membuat hamba-hambaku bertempat tinggal di atasnya.

Dunia akan makmur bila penguasa itu melaksanakan keadilan. Seluruh rakyatnya aman dan tenteram sebagaimana pemerintahan masa Azdasyir, Afrendun, Bahram, Kiwara dan Kaisar Anusyirwan. Apabila penguasa itu zalim, maka rosaklah dunia seperti mana pada masa al-Dhahak, Afrasian, Barazdak Al-Khathi dan lainnya. Kebobrokan ini terus berlaku sehingga umat Islam menakluknya. Dan ia berterusan hingga pada masa Khalifah Umar al-Khattab.

Sejarah mencatat bahawa para raja dan penguasa tersebut adalah mereka yang pernah menguasai dunia. Kini masa mereka telah berlalu dan yang tinggal hanyalah nama, riwayat dan sejarahnya semata-mata. Setiap orang akan dikenang sesuai dengan apa yang diperbuatnya dan akan disandarkan kepadanya segala yang dilakukannya. Jika baik prestasinya, namanya pun baik dan harum. Tapi jika buruk, maka buruk pula kenangan dan nama yang ditinggalkannya. Justeru, penguasa janganlah meninggalkan nama buruk saat mereka telah berbaring di liang lahad.

Agama dan penguasa saling melengkapi bagaikan saudara kembar yang lahir dari seorang ibu. Justeru seorang penguasa harus tinggi akhlaknya, menjauhi daripada segala bidaah, kemungkaran, subahat yang boleh merosakkan agama. Seorang penguasa wajib menjaga kehormatan agama Islam. Dia harus tetap membangun dan memperkuatkan pertahanan dan berusaha bersungguh-sungguh dalam menjunjung tinggi kebenaran dan menjaga kemurnian umat agar langkah perjalanannya terpuji di sisi Allah serta baik wibawanya di mata manusia.

Rasulullah bersabda, Sehari keadilan seorang penguasa jauh lebih baik dari tujuh puluh tahun beribadah. Kata Nabi lagi, Berlaku adil terhadap orang teraniaya, mencerdaskan akal. Dalam sabdanya yang lain, Barang siapa mencabut pedang untuk kezaliman, terlepaslah pedang kemenangan atasnya. Dan selamanya ia akan terjerat dari penderitaan.

Seorang penguasa yang baik ialah yang sentiasa berwaspada terhadap ulama-ulama al su (ulama culas/jahat) yang hanya menginginkan kekayaan duniawi. Mereka menyanjung, memujuk dan merayu. Mereka sengaja membuat kita senang dan berusaha memperoleh sesuatu daripada kita dengan jalan tipu daya. Ia tidak jujur dalam memberi nasihat.

Jangan-jangan ada di kalangan cerdik pandai kita sudah menjadi Haman, yang mempersembahkan kecerdasannya untuk mengabdi kepada kezaliman. Kecerdikan yang dipergunakan untuk memperdaya orang memang banyak berlaku.

Jangan-jangan para ulama kita sudah menjadi Balam bin Baura. Kita menjual ayat-ayat Allah untuk memenuhi hawa nafsu. Kita mengemas cita-cita duniawi dengan amalan kesolehan. Seharusnya kita melangkahkan kaki kita ke rumah orang miskin dan mengetuk pintu mereka untuk memberikan bantuan. Tetapi kini, kita menghayunkan langkah ke istana para penguasa, menundukkan kepala kita di hadapan mereka, seraya mengumumkan ayat-ayat Allah untuk membenarkan kezaliman mereka.

Jangan-jangan kita semua sudah tidak peduli lagi dengan perintah Tuhan. Kita semua sudah menjadi budak-budak dunia. Di masjid, kita membesarkan Allah; di luar masjid kita menggunakannya untuk bermaksiat kepada-Nya. Tangan-tangan yang kita angkat dalam doa-doa kita adalah juga tangan-tangan yang bergelumang dosa. Lidah-lidah yang kita getarkan untuk menyebut Asma-Nya yang suci adalah juga lidah-lidah yang berlumuran kata-kata kotor. Kepala yang kita rebahkan dalam sujud adalah juga kepala yang kita dongakkan dengan sombong di hadapan hamba-hamba Allah.

Akibatnya perpecahan terus melanda negara kita seolah puncanya kerana kelemahan kita sendiri yang tidak pernah ingin bersatu.Demikian juga dalam kita sedang menghadapi kemelut memilih Perdana Menteri.Justeru proses pemilihan pemimpin berdasarkan prinsip musyawarah merupakan satu tindakan yang amat diharapkan dalam Islam. Bagi menentukan prinsip ini dipatuhi, setiap orang yang mencalonkan diri hendaklah diberikan peluang yang sama untuk menyatakan prinsip perjuangannya dalam konteks amalan demokrasi.

Al-Quran meletakkan prinsip pemilihan berdasarkan musyawarah sebagai faktor yang wajib dipatuhi walaupun setiap orang Islam diberikan kebebasan untuk memilih. Nabi Muhammad SAW menegaskan: “Kamu lebih mengetahui persoalan dunia kamu.” Tetapi ini tidak bermakna kebebasan adalah sesuatu yang tidak bersandarkan prinsip kesejahteraan dalam bermusyawarah. Contoh yang lain ialah semasa pemilihan pengganti Khalifah yang dilakukan oleh Saidina Abu Bakar sebelum mencapai kata sepakat untuk mencalonkan Umar al-Khattab sebagai pengganti beliau.

Penetapan menerusi persetujuan majoriti itu penting bagi mengelakkan perpecahan. Menerusi persetujuan majoriti, setiap ahli mestilah pula menghormati dan menerima keputusan bersama, kerana ia merupakan prinsip yang menjamin kepada penyatuan dan kesepaduan jemaah. Ini bermakna, mereka yang tidak terpilih wajar menerima ‘keputusan bersama’ dan bukan melakukan tindakan di sebaliknya seperti cuba membakar kelambu kerana marahkan nyamuk.

Terdapat satu pesanan menarik dalam kesusasteraan sufi yang bermaksud: “Tidak akan kecewa orang yang memohon petunjuk (kepada Allah) tentang pilihan yang terbaik dan tidak juga akan menyesal seseorang yang melakukan musyawarah.”

Ia membawa makna bahawa musyawarah merupakan fungsi dalam menghimpun pendapat yang lebih baik dan benar dari pelbagai lapisan masyarakat dan kemudiannya dijadikan keputusan bersama untuk keluar daripada kekusutan sebagaimana dijelaskan dalam al-Quran:… segala urusan mereka di musyawarah bersama mereka…” (al-Syura:38)

Dalam surah al-Baqarah ayat 124, Allah menceritakan tentang peristiwa Nabi Ibrahim diangkat menjadi pemimpin. Allah berfirman yang bermaksud: Aku (Allah) akan mengangkat engkau sebagai pemimpin. Mendengar hal tersebut, Nabi Ibrahim bermohon kepada Allah agar penghormatan yang diberikan kepadanya dikurniakan juga kepada anak cucu baginda Nabi Ibrahim.

Bagaimanapun, Allah SWT telah menggariskan satu syarat iaitu, Perjanjian-Ku ini tidak akan dikurniakan kepada orang yang berbuat aniaya. Ini bermakna, walaupun kekuasaan itu dapat diwariskan kepada anak cucu oleh orang tua, ia hanya dibenarkan berdasarkan sifat-sifat terpuji, iaitu hakikatnya adalah keadilan. Untuk memahami maksud ayat tersebut, kita perlu memahami dua asas penting.

Pertama, kepimpinan menurut pandangan al-Quran bukan sekadar kontrak atau perjanjian sosial antara pemimpin dengan masyarakat, tetapi ia juga merupakan ikatan perjanjian antara pemimpin dengan Allah.

Kedua, dalam pengertian ayat tersebut, kepimpinan itu mestilah didahulukan dengan prinsip keadilan kerana tujuan sebenar kehidupan ialah mempraktikkan kesejahteraan masyarakat. Maknanya, kesejahteraan bermasyarakat hanya akan terbentuk menerusi penegakkan prinsip keadilan bagi setiap orang, berdasarkan pertimbangan keputusan yang telus dan tidak dipengaruhi oleh prasangka.

*Kolumnis adalah Pengarah Media dan Komunikasi Pertubuhan Kearifan Islam Malaysia (OMIW)