Malaysia Dateline

Jalan pertama di Kedah guna teknologi berasaskan getah

Negeri Kedah telah berjaya menjadikan getah sebagai salah satu teknologi baharu untuk penurapan jalan.

Malah kerja penurapan semula jalan sepanjang 150 meter di Jalan Alor Setar-Kuala Kedah semalam telah menggunakan sejenis teknologi baharu iaitu ‘asphalt ‘ terubahsuai getah bekuan ataupun ‘CupLump Modified Asphalt’ (CMA).

Demikian dinyatakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerja Raya, Bekalan dan Sumber Air dan Tenaga, Datuk Ir Zamri Yusuf.

Kerja-kerja penurapan jalan menggunakan kaedah getah sedang giat dijalankan semalam.

Jelasnya lagi, kejayaan teknologi CMA bagi projek membina semula Jalan Persekutuan di beberapa negeri telah menjadi satu penemuan baharu bagi kaedah penurapan jalan dalam negara.

“Kerajaan Negeri Kedah telah menjadikan projek penurapan semula jalan tersebut sebagai perintis bagi teknologi ini dalam negeri Kedah.

“Turapan jalan yang menggunakan teknologi bahan campuran getah ini dijangka lebih baik dari cara konvensional.

“Antara kelebihannya adalah meningkatkan daya tahan jalan terhadap haba atau cuaca panas, ” ujarnya.

Disamping faktor keselamatan jalan raya kata beliau, ia juga meningkatkan daya cengkaman tayar keatas jalan raya dan menjimatkan kos penyelenggaraan jalan dalam jangka masa panjang.

Tambah beliau lagi, inisiatif baharu ini, yang telah diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri akan mampu untuk meningkatkan permintaan keatas getah beku termasuk getah sekerap.

Sekaligus tegasnya, ia boleh memberi manfaat kepada industri getah dalam jangka masa panjang.