Malaysia Dateline

Jalan raya di Pulau Bruit, Sarawak diturap selepas didesak

Ekoran desakan demi desakan daripada penduduk di sekitar, akhirnya jalan raya yang menghubungkan kampung-kampung di sebelah utara Pulau Bruit telah siap diturapkan baru-baru ini.

Ini kerana, hampir 57 tahun menanti, rata-rata penduduk kampung berasa lega walaupun mereka sepatutnya berhak untuk mengecapi jalan raya yang selesa seawal-awalnya lagi.

Fadillah melalui jalan raya di sekitar kampung Pulau Bruit sebelum ini.

“Pastinya kita dan seluruh penduduk amat gembira kerana dapat menggunakan jalan raya ini dalam keadaan yang baik.

“Saya sendiri menyaksikan dan merasai sendiri pengalaman melalui jalan raya yang menghubungkan kampung-kampung yang hanya dapat dilalui dengan menaiki motosikal dari Kampung Penuai hingga ke Kampung Bruit sebelum ada jalan yang bertar ini,” kataKetua AMANAH Kawasan Tanjung Manis, Fadillah Sabali ketika ditemui di Pulau Bruit.

Katanya, dengan jalan raya yang selesa itu, pastinya akan memberi banyak manfaat kepada penduduk kampung khususnya menerusi aktiviti perniagaan dan pelancongan.

“Jalan baharu ini bakal memberi nafas baru kepada hampir 1,000 orang penduduk di sekitar kampung-kampung di Pulau Bruit untuk terus membangun.

“Justeru, bagi memperkenalkan Pulau Bruit selepas keadaan pandemik Covid-19 nanti, pihak pemimpin kawasan dan kampung bolehlah menganjurkan larian maraton.

“Dengan jarak yang mencukupi untuk kategori ini, pastinya dapat menarik ramai pelari-pelari yang lasak untuk merasai cabaran dan suasana yang istimewa di pulau ini sekali gus akan berupaya menarik pengunjung luar datang di sini,” tambahnya.

Menurut Fadillah, dengan adanya program sedemikian, Pulau Bruit akan menjadi salah sebuah lokasi yang akan disinggahi dalam kalender sukan larian jarak jauh setiap tahun.

“Hasilnya, penduduk kampung akan mendapat manfaat secara tidak langsung dengan aktiviti-aktiviti perniagaan dan pelancongan.”

“Pada masa sama, bagi penduduk Kampung Bruit, saya dapat memahami kehendak mereka agar jalan pesisir yang dapat menghubungkan kampung berkenaan terus ke Pengkalan Feri Muara Lassa yang kini dibina dapat memendekkan jarak yang lebih singkat,” tambahnya lagi.

Kata beliau lagi, bayangkan dengan hanya jarak yang dianggarkan dalam 15 kilometer dibandingkan dengan jarak yang perlu dilalui sekarang dalam lebih kurang 40 km sangat memberi kesan kepada masa dan duit minyak bagi penduduk di sini.

Malah, tegasnya harga minyak di Pulau Bruit adalah lebih mahal jika dibandingkan di tempat lain di Malaysia.