Malaysia Dateline

Jalan raya di Sumur dibersihkan untuk buka laluan

Selepas lebih dua minggu kawasan pantai Sumur dilanda tsunami, penduduk di daerah itu kini mula bangkit dan tanpa jemu bertungkus-lumus membersihkan kawasan pinggir pantai ini daripada kemusnahan akibat bencana alam tersebut.

Pembersihan kini tertumpu di jalan-jalan raya di kawasan terjejas dan dilakukan dengan kerjasama Badan Penanggulangan Bencana Daerah menggunakan sebuah jentera untuk mengangkat lumpur, batu bata dan tanah yang meliputi jalan raya.

Wakil kepada Kepala Desa Kecamatan (daerah) Sumur, Adit Riwaya berkata ada beberapa jalan raya dalam kawasan Sumur tidak boleh dilalui kereta dan motosikal kerana dihalang oleh lumpur dan batu-bata yang dibawa tsunami dari laut.

“Jadi kami terpaksa membersihkannya bagi membuat laluan untuk penduduk kampung melaluinya untuk ke kampung lain serta memberi laluan masuk untuk pihak-pihak yang ingin menghulur bantuan,” katanya.

Tsunami yang melanda Selat Sunda 22 Dis lepas akibat letusan gunung berapi Anak Krakatau itu menyebabkan kemusnahan yang teruk dengan sebahagian kawasan persisir pantai di Sumur boleh diibarat seperti ‘padang jarak padang tekukur’.

Tinjauan Bernama mendapati tsunami itu turut membawa tanah dan pokok tumbang, selain ada sampan dan bot-bot sederhana terdampar di daratan malah ada yang masuk ke dalam rumah mangsa. Laluan masuk untuk ke Sumur juga berlubang dan berhabuk ekoran lumpur tsunami yang telah kering.

Adit berkata pada masa ini terdapat jalan yang telah dibersihkan dan pihaknya juga bersedia untuk membina penempatan sementara bagi mangsa tsunami.

Cuaca di Sumur hari ini juga agak baik dan mangsa tsunami bertumpu di pusat-pusat bantuan untuk memilih pakaian yang disumbangkan oleh pihak sukarelawan.

Jakarin, 31, yang merupakan seorang mangsa bencana itu telah menetap di Sumur selama 20 tahun dan dia menyifatkan tsunami kali ini amat luar biasa dan membawa kemusnahan yang teruk.

“Rumah yang hancur atau beralih menunjukkan ada satu tenaga yang amat kuat datang dari arus tsunami,” katanya ketika ditemui Bernama di lokasi kejadian.

Badan Nasional Penanggulangan Bencana (BNPB) melaporkan sehingga kini lebih 400 orang maut manakala 30,000 hilang tempat tinggal.

— BERNAMA