Jalan sesak 2 km menuju ke ceramah Dr Mahathir

Jalan sesak 2 km menuju ke ceramah Dr Mahathir

Perjalanan menuju ke Ceramah Perdana Pakatan Harapan (PH) di Terminal Bas Kukup disambut dengan hujan lebat yang turun setempat-setempat.

Saya dan wartawan Siti Nurzawani Miscon spontan bertanya tentang siapa yang ada membawa baju hujan sepanjang perjalanan menempuh Jalan Kukup dari hotel bajet di Lorong Sepakat, Pontian.

Jurugambar Syafiq Iskandar yang sedang memandu menyahut katanya, ada membawa hanya dua helai baju hujan tetapi serentak berseloroh, baju itu ujarnya, untuk saiz lelaki sahaja.

Namun, sebaik melepasi Sekolah Kebangsaan Telok Kerang, tiada hujan turun.

Selain kereta polis peronda lalu lalang dan kawalan polis trafik di kawasan tertentu, kami menempuh juga kerja mengetar jalan lagi 5 kilometer sebelum tiba di lokasi ceramah.

Namun, projek mengetar jalan itu jaraknya kira-kira 500 meter sahaja. Kami juga dikejutkan sergahan guruh dan kilat sabung-menyabung dari semasa ke semasa.

Jalan Kukup sudah sesak dengan kenderaan bergerak perlahan sejauh dua kilometer.

Sedang kami bersesak di Jalan Kukup, siren menandakan kehadiran rombongan kenderaan menteri sedang membelah trafik.

Malam ini, Tun Dr Mahathir buat julung kalinya bakal tampil di pentas ceramah kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai.

Turut akan menghangatkan pentas ceramah pada hari kempen ke-12 malam ini ialah Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Presiden AMANAH, Mohamad Sabu dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Siaran langsung program sempena PRK yang menyaksikan pertembungan enam penjuru ini juga boleh disaksikan di:

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=414800222523217&id=583573171790458