Jalan TAR kini kawasan tumpuan membeli belah

Jalan TAR kini kawasan tumpuan membeli belah
Azli Yusof berselfie dengan latar belakang yang penuh dengan orang ramai ketika turun ke Jalan TAR petang semalam.

Penutupan Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) masuk ke minggu ke tiga hari ini dan semuanya berjalan sebagaimana yang dirancang oleh Kementerian Wilayah Persekutuan dan agensi di bawahnya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Ia kini menjadi kawasan tarikan pembeli dan perniagaan berjalan dengan aman dan tenang sekali tanpa hiruk pikuk kenderaan di jalanan.

Pelbagai pihak yang terlibat, khasnya peniaga dan orang ramai sangat gembira dengan apa yang berlaku.

Hanya bas dan kenderaan awam saja dibenarkan memasuki Jalan TAR.

Mereka boleh membeli belah dengan aman manakala peniaga pula gembira dengannya.

Tinjauan Malaysia Dateline ke kawasan itu juga menunjukkan suasana yang sama, semuanya berjalan dengan baik.

“Saya rasa kita patut tutup jalan ini setiap hari,” kata Normala Yusof, 55, dari Terengganu yang datang ke membeli belah menjelang bukan puasa di situ.

Pusat membeli belah SOGO menjadi kegemaran beliau dan keluarganya dari Terengganu. Dulu mereka suka ke Globe Silk Store.

Selepas membeli belah baju raya untuk anak-anaknya di SOGO, beliau dan keluar ke Jalan TAR kawasan yang ditutup untuk dijadikan kawasan pejalan kaki oleh DBKL.

Bagi peniaga, suasana juga hampir sama. Walaupun bimbang perniagaan merosot selepas jalan itu ditutup kepada kenderaan persendirian, namun terbukti ia sebaliknya.

Hanya satau masalah mereka, pelanggan mereka merungut sukjar untuk membawa barang yang banyak apabila kereta mereka tidak boleh masuk ke situ.

Namun, peniaga itu menyelesaikannya dengan cara mereka menghantar barang yang banyak dibeli ke kereta pelanggan mereka.

Karpet, langsir dan sebagainya yang besar-besar dihantar oleh mereka ke kereta pelanggan.

Suasana Jalan TAR ketika ia ditutup kepada kenderaan persendirian.

Jalan TAR ditutup setiap Sabtu dan Ahad selama sebulan April ini sebagai tempoh percubaan. Jika keadaan berjalan lancar, ia akan menjadi kawasan pejalan kaki yang kekal di Kuala Lumpur.

Petang Sabtu semalam, Setiausaha Politik Menteri Wilayah Persekutuan, Azli Yusof sendiri membuat tinjauan keadaan di sana.

Menurut Azli yang juga ahli Lembaga Penasihat DBKL, ketika membuat tinjauan, suasananya bagus sekali.

“Kelihatan pengunjung keluar bersantai sambil membeli belah bersama keluarga.

“Suasana nyaman dan tenang, bebas dari kebisingan dan asap kenderaan persendirian.

“Hanya kenderaan awam (bas dan teksi) dibenarkan lalu untuk mengambil dan menurunkan penumpang,” tulis Azli yang juga Ketua AMANAH Shah Alam itu.