Jalan Tuanku Abdul Rahman jadi kawasan pesiar kaki

Jalan Tuanku Abdul Rahman jadi kawasan pesiar kaki
Khalid dan Nor Hisham menunjukkan kawasan yang akan dijadikan kawasan pesiar jalan kaki sahaja mulai 15 Mac.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan menjadikan Jalan Tuanku Abdul Rahman sebagai jalan pesiar kaki sahaja mulai 15 Mac 2019.

Datuk Bandar Kuala Lumpur bersama Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad ketika mengumumkan perkara ini berkata, hanya bas sahaja yang akan dibenarkan masuk ke jalan itu mulai tarikh tersebut.

“Jika dipersetujui oleh pelbagai pihak, jalan ini akan dijadikan sebagai tapak bazar Ramadhan tahun ini,” kata Khalid dalam sidang medianya semalam.

Peta susunan aliran kenderaan apabila Jalan Tuanku Abdul Rahman menjadi kawasan pesiar jalan kaki sahaja.

Sekarang ini, kawasan kaki lima Jalan Tuanku Abdul Rahman telah dibesarkan.

“Jadi ia sesuai kita jadikan ia sebagai kawasan tanpa kenderaan kecuali bas sahaja,” kata khalid.

Menurut Datuk Bandar, Datuk Nor Hisham bin Ahmad Dahlan, pihak DBKL sedang mendengar pandangan ramai apakah ia sesuai dijadikan tapak baru bazaar Ramadhan.

“Sehingga ini (sebelum penjelasan), lebih 43% bantah, namun kita akan dengar pandangan mereka dulu,” katanya.

DBKL sebelum ini telah membuat keputusan untuk memindahkan tapak Bazar Ramadhan dari Jalan Masjid India ke kawasan lain.

Ini berikutan bantahan dari peniaga dan pemilik kedai tetap di kawasan itu yang berkata mereka sentiasa menjadi mangsa setiap kali musim perayaan kerana ia dijadikan tapak bazar.

Bazar ini pula menyekat laluan ke kedai mereka.

Antara yang membantah adalah peniaga Melayu di bangunan Wisma Yakin yang sentiasa kerugian apabila tiba musim perayaan.

Ini kerana laluan ke bangunan mereka ditutup oleh peniaga berkala yang berniaga atas nama bazar di musim perayaan ini.

Mereka telah berjumpa dengan Khalid sejak tahun lepas bagi menyampaikan bantahan mereka.

Selain penutupan bazar di situ, DBKL sedang menyiapkan satu tapak kedai baru bersebelahan dengan Coliseum iaitu di seberang jalan dari tapak bazar sekarang.