Malaysia Dateline

Jalan tugas seperti biasa, pastikan fungsi kerajaan berjalan

Semua pemegang jawatan politik dicadangkan meneruskan tugas masing-masing walaupun Perdana Menteri telah meletakkan jawatan kerana kerajaan perlu terus berfungsi.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad berkata, mereka perlu terus menjalankan tugas sehingga suasana telah jelas pihak mana yang akan terus memerintah negara.

“Bagi saya, kita perlu jalan tugas, sehingga perkara itu jadi jelas. Tak perlu kita gopoh, tunggu nasihat pihak Jabatan Peguam Negara atau istana,” kata beliau yang juga Pengarah Komunikasi AMANAH selepas menyertai satu majlis bersama Menteri Besar Negeri Sembilan di Port Dickson hari ini.

Bagi Khalid, walaupun Tun Dr Mahathir telah meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri, ia tidak semestinya diterima oleh Yang Dipertuan Agong.

“Perletakan jawatan Tun Mahathir secara menulis surat. Belum tentu diterima atau tidak. Rundingan berlaku dan mungkin beliau cuba dipujuk dan sebagainya.

“Dalam pada itu urus tadbir negara perlu diteruskan sehingga kedudukan jelas,” katanya.

Sejak pagi tadi, Khalid sibuk dengan tugasan rasmi beliau sebagai Menteri Wilayah Persekutuan.

Pagi tadi beliau melancarkan pra pelancaran Pesta Belon Udara Panas di Putrajaya manakala petang ini beliau bergegas ke Port Dickson, Negeri Sembilan untuk merasmikan majlis Publisiti dan Penerangan Awan, Draf Rancangan  Khas Persiaran Pantai Port Dickson.