Malaysia Dateline

Jalankan siasatan segera, Hamzah perlu digantung tugas

Pejuangnita Muda Malaysia menggesa satu siasatan menyeluruh ke atas Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta menggantung tugas Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Ketuanya, Dr Nurul Ashikin Mabahwi berkata, penularan audio dan pengakuan Hamzah Zainudin jelas membuktikan campur tangan politik dan penyalahgunaan kuasa berlaku.

Katanya, sehingga kini walaupun beberapa aduan polis telah dibuat meminta siasatan telus dijalankan, masih tiada tindakan susulan dilakukan.

“Kami menggesa agar Perdana Menteri menggantung tugas Hamzah Zainuddin sementara waktu dan menggesa siasatan telus yang bebas pengaruh politik oleh PDRM dan SPRM dijalankan terhadap Hamzah Zainudin.

“Kita khuatir berlaku elemen rasuah dan kesalahan integriti dalam siasatan jika Hamzah Zainudin masih memegang portfolio sepanjang siasatan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau yakin dan percaya jika kes ini disenyapkan keyakinan dan kepercayaan rakyat terhadap PDRM dan SPRM akan terhakis.

“Kami menggesa siasatan dijalankan dengan kadar segera dan Hamzah Zainuddin digantung tugas,”katanya.

Sebelum ini bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador mendedahkan mengenai campur tangan politik di dalam PDRM.

Bukan itu sahaja Hamzah Zainudin juga mengaku bahawa audio itu merupakan suara beliau dan tidak merasakan ia satu kesalahan.