Malaysia Dateline

Jalil Marzuki, Dr Harlina Haliza Siraj antara penerima Darjah Kebesaran Wilayah Persekutuan

Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Jalil Marzuki mendahului senarai 200 penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2019.

Jalil merupakan satu-satunya penerima Darjah kebesaran Seri Mahkota Wilayah (SWM) yang membawa gelaran Datuk Seri.

Ketua  Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Saripuddin Kasim, dalam kenyataan  berkata, Jalil telah berkhidmat di Wilayah Persekutuan selama 33 tahun dan kini bertanggungjawab menyelaras dan memantau projek-projek pembangunan mahkamah di seluruh Malaysia serta menyelia Jabatan Bantuan Guaman dan Jabatan Insolvensi Malaysia.

Istiadat penuh pengurniaan darjah kebesaran disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, di Istana Negara, Kuala Lumpur, hari ini.

Tahun ini, seramai 27 individu dianugerahkan Darjah Kebesaran Panglima Mahkota Wilayah (PMW) yang membawa gelaran Datuk.

Antara penerima tersebut ialah Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan, Wan Suraya Wan Mohd Radzi, Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Mohd Khairul Adib Abd Rahman dan Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Dr Wong Lai Lin.

Turut menerima PMW ialah Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia, Alui Bahari, Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat, Mohd Fazari Mohd Salleh dan pendakwah selebriti wanita terkenal, Prof Dr Harlina Halizah [email protected] yang juga pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia UKM).

Sementara itu, seramai 36 individu dianugerahkan Johan Mahkota Wilayah (JMW), 32 individu menerima Kesatria Mahkota Wilayah (KMW), 36 individu menerima anugerah Ahli Mahkota Wilayah (AMW) dan 68 individu menerima Pingat Pangkuan Mahkota Wilayah (PPW).

Antara penerima JMW ialah Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Nokman Mustafa, P. Arivalagan daripada Persatuan Karate Hayashi-Ha Kuala Lumpur dan Pensyarah Kanan di Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Prof Madya Dr Sharifah Hayaati Syed Ismail.

Saripuddin berkata beberapa atlet negara turut diberi pengiktirafan dengan dikurniakan bintang AMW antaranya pemain skuasy Ng Eain Yow dan penerjun negara, Nur Dhabitah Sabri yang merupakan anak jati Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, Saripuddin berkata, atlet angkat berat Wilayah Persekutuan, Jabriella Teo Samuel dan Muhammad Erry Hidayat Muhammad Hidayat serta atlet boling padang Wilayah Persekutuan, Nur Ain Nabilah Tarmizi dikurniakan bintang PPW.

Penganugerahan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan yang bermula sejak 2008 bertujuan menghargai dan mengiktiraf sumbangan, jasa serta khidmat cemerlang warga Wilayah Persekutuan yang banyak berjasa membangunkan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.- BERNAMA