Malaysia Dateline

Jalin hubungan dengan pembangkang tanpa gadaikan integriti dan prinsip, gesa Pemuda AMANAH

Kepimpinan akar umbi Pemuda AMANAH Nasional, Negeri dan Kawasan menggesa pucuk pimpinan parti untuk terus menjalinkan hubungan dengan pihak pembangkang yang lain dalam usaha untuk mengembalikan mandat rakyat pasca PRU14 tanpa menggadaikan prinsip dan integriti.

Dalam satu kenyataan bersama seluruh Pemuda AMANAH menyokong penuh keputusan pimpinan parti dan percaya  bahawa Pakatan Harapan (PH) perlu membina blok pembangkang yang kuat dan bersatu  padu bersama-sama dengan Warisan, Pejuang, UPKO, PSB, MUDA serta ahli parlimen Bebas yang setuju bersama.

“Pembangkang yang berpecah belah lebih menyukarkan usaha untuk mengambil alih kerajaan.

“Kami berharap pendirian AMANAH ini dihormati bukan sahaja oleh ahli-ahli parti tetapi juga oleh rakan-rakan gabungan dalam Pakatan Harapan,” katanya.

Dalam pada itu, Pemuda turut menyokong keputusan pimpinan AMANAH untuk mendukung Pengerusi Pakatan Harapan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri.

Namun, katanya, pada masa yang sama, pemuda juga menyokong pendirian AMANAH untuk tidak menjadikan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai seteru politik.

“Menjadikan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai musuh politik adalah pendirian yang tidak tepat,” katanya.

Berhubung dengan tindakan ahli parti yang menyertai parti lain, pemuda menyeru kepimpinan AMANAH agar mengambil tindakan tegas terhadap individu terbabit kerana ia boleh mengundang suasana gusar dalam kalangan ahli.