Jalin kerjasama kerana tidak mahu wujudnya Kerajaan Gagal 2.0

Oleh NASUHA RAHMAN

Kesanggupan Pakatan Harapan menjalinkan kerjasama dengan kerajaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang baru dibentuk kerana tidak mahu wujudnya Kerajaan Gagal 2.0.

Pengarah Komunikasi AMANAH Khalid Samad berkata, Pakatan Harapan percaya kerajaan hari ini memang tidak mampu untuk menyelesaikan masalah rakyat kerana barisan kepimpinan mereka tidak ada beza dengan kepimpinan kerajaan PN sebelum ini.

“Tidak ada bezanya dari segi anggotanya, kemampuannya. Ini terbukti selepas setahun mereka mengemudi kerajaan akhirnya mereka telah gagal.

“Kita sampaikan kepada PM baru kalau dia buat cara Mahiaddin iaitu tak nak dengar pandangan pembangkang tak nak buat sidang Parlimen maka kerajaan beliau akan gagal seperti kerajaan Mahiaddin.

“Maknanya kerajaan gagal 1.0 diganti dengan kerajaan gagal 2.0,” kata beliau dalam program Biara YB Khalid Samad di Jom Channel malam ini.

Katanya, jika Ismail mempunyai iltizam mahu membantu rakyat beliau mesti mengambil pendekatan terbuka dan inklusif dengan menjalinkan kerjasama dengan semua pihak termasuk pembangkang.

“Dia kena kembalikan persoalan semak imbang dengan menghidupkan institusi Parlimen supaya perkembangan dalam parlimen di mana perbincang bersama pihak kerajaan dan pembangkang mengenai masalah-masalah rakyat dapat didengar dan cari jalan penyelesaiaan.

“Inilah cara politik di negara-negara maju dengan demokrasi yang matang ada kerjasama, perbahasan dan perbincangan antara kerajaan dan pembangkang,” kata beliau.

Justeru katanya yang juga Ahli Parlimen Shah Alam, Pakatan Harapan yang menjadi pembangkang bertanggunbgjawab sanggup untuk bekerjasama dengan Ismail demi rakyat.

Dalam masa yang sama, Pakatan Harapan memberikan cadangan yang bernas untuk diambil kira Ismail supaya kerajaan dapat bertindak dengan lebih berkesan membantu rakyat jelata.

“Dia panggil kita dan kita sanggup pergi untuk sampaikan hasrat rakyat untuk memulihkan negara,” katanya.

Di dalam pertemuan petang tadi, beliau berharap segala cadangan yang dikemukakan  Pakatan Harapan dapat dipertimbangkan dan dari sudut pelaksanaan Pakatan Harapan diberikan peranan untuk memantau bagi memastikan ia dilaksanakan sebaik mungkin.

Tiga pemimpin utama Pakatan Harapan dengan diketuai oleh pengerusinya Anwar Ibrahim telah dijemput Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub ke pejabatnya pada jam 2 petang tadi.