Malaysia Dateline

Jalin kerjasama yang jujur jangan ulangi sikap Mahiaddin

Perdana Menteri Kesembilan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu menjalinkan kesefahaman dan kerjasama yang lebih jujur dengan semua pihak termasuk Ahli-ahli Parlimen pembangkang.

Ketua Angkatan Wanita AMANAH (AWAN) Nasional, Aiman Athirah Al Jundi mengingatkan agar Ismail tidak mengulangi tindakan Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Mahiaddin Md Yasin yang hanya bertindak selepas desakan pelbagai pihak ibarat sudah terhantuk baru terngadah.

Bahkan katanya, Ismail perlu sedar dan insaf bahawa kedudukannya sekarang tidak stabil malah sangat terdedah kepada pelbagai bentuk kacau ganggu dan ugutan daripada kerajaannya sendiri.

“Selain itu, tiada keperluan untuk PM9 membentuk sebuah Kabinet yang besar tetapi gagal berfungsi seperti mana sebelum ini.

“Mana-mana Menteri dan Timbalan Menteri yang jelas gagal menjalankan fungsi mereka sebelum ini wajib tidak diangkat semula. Mengulangi pelantikan mereka adalah sebuah manifestasi kegagalan yang awal.

“Kabinet Malaysia perlu dibentuk mengikut keperluan, keutamaan dan keupayaan setiap anggota yang dilantik, bukan sebaliknya dengan budaya serta keperluan balas budi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini

Setiausaha Kehormat Majlis Senator Malaysia itu menambah, tindakan melantik anggota Kabinet kerana mahu membalas budi adalah tidak “sustainable”, bahkan ianya adalah satu lagi pengkhianatan terhadap rakyat susah dan derita di bawah akibat kegagalan fungsi para menteri di atas.

Selain itu Aiman Athirah turut menzahirkan harapan agar Ismail dapat memberi tumpuan kepada segala usaha pemulihan ekonomi, kesejahteraan sosial rakyat dan kelangsungan pendidikan negara.

Jelasnya, kebijakan mengurus semua Ahli Parlimen sama ada di pihak kerajaan mahupun pembangkang dengan menjadikan mereka sebagai “rakan strategik” yang berkesan dan dihormati, merupakan ramuan politik baharu yang Malaysia perlukan dan dambakan pada hari ini.

“Harapan kami agar beliau dapat menterjemahkan iltizam (Keluarga Malaysia) secara jujur, holistik, rentas kaum dan fahaman politik, dengan kesungguhan memposisikan diri sebagai Perdana Menteri Malaysia untuk semua rakyat, tidak hanya tinggal sebagai satu slogan kosong tidak terisi,” ujarnya.

Pada masa sama, beliau turut menyeru agar Pakatan Harapan (PH) terus kekal sepakat membawa agenda pembaharuan negara dalam posisi yang ada sekarang ini, meskipun dibadai kesan segala pengkhianatan dan rampasan mandat rakyat.

Beliau juga menegaskan agar PH tidak perlu terlibat dalam perseteruan yang sedang memuncak dalam kalangan parti-parti politik yang kalah dan khianat.