Malaysia Dateline

Jalinan prinsip dan manifesto cerminan budaya politik sihat

Di pasaran politik, prinsip diketengahkan. Perjuangan kepada integriti, ketulusan, anti-korup dibungkus dengan rapi lalu dinamakan “Bersih”.

Perjuangan kepada kestabilan dan kebajikan pula disaluti dengan dakwat biru pekat lalu dinamakan “makmur”.

Si merah mengatakan si biru tidak bersih, si biru pula mengatakan si merah tidak makmur. Berlaku permusuhan atas dasar prinsip.

Namun mereka lupa, di pentas politik musuh tidak selamanya musuh dan sahabat tidak selamanya sahabat. Apabila berlaku situasi yang memerlukan si merah dan si biru berbaik, mereka tentu diperlekeh. Itulah kesan apabila prinsip diketengahkan.

Yang sepatutnya diketengahkan bukan prinsip tetapi manifesto. Manifesto adalah manifestasi sebenar perjuangan rakyat. Ia terus menawarkan solusi tanpa perlu bertikam lidah.

Si merah mencadangkan penangguhan bayaran PTPTN. Si hijau pula mencadangkan diskaun PTPTN. Matlamat yang sama pendekatan yang berbeza.

Jika benar kedua-dua mereka mengutamakan agenda rakyat, maka penggabungan si merah dan si hijau tidak menjadi masalah kerana tiada percanggahan antara manifesto mereka.

Jangan salah faham pula, prinsip juga adalah manifestasi perjuangan rakyat tetapi ia bersifat tidak toleran. Maka, manifesto wajar diketengahkan berbanding prinsip.

Bermain dengan prinsip dan manifesto menggambarkan politik yang sihat di pentas politik tanah air.

Hakikatnya, terdapat juga golongan yang bermain dengan politik kotor. Ada antara mereka yang gemar memfitnah, menuduh, menipu.

Ada pula yang suka berteori dan meramal untuk menakut-nakutkan rakyat. Ada yang sehingga mengeluarkan hukum, memaksa penduduk kampung mengundi mereka.

Pengundi muda sesetengahnya terlampau naif menyebabkan mereka percaya bulat-bulat tanpa unsur periksa.

Mahasiswa UKM bersama aktivis politik Fahmi Reza dalam sesi Kelas Demokrasi bulan lalu

Ludahan

PRU15 meyakinkan saya bahawa Melayu mudah dibeli. Bukan sekadar dibeli malah dilelong lalu dirobek robek, dipijak pijak, dipergunakan hingga tiada nilai lagi dalam pasaran politik Malaysia.

Untuk membeli undi orang Melayu cukuplah anda meludah sentimen agama lantas memainkan api perkauman sebagai ludahan kedua.

Ludahan ini tidak boleh dibersihkan kerana cubaan berbuat demikian dikatakan “Ancaman”, “Liberal”, “Islam pada IC sahaja”, “Boneka orang Cina” manakala hukum menjilatnya adalah wajib.

Melayu tiada musuh dalam politik. Tiada yang berani memusuhi mereka. Maka satu watak penjahat perlu direka bagi meraih undi puak ini.

Puluhan label ditampal bagi mengarangnya, bermula dengan “Musuh Islam” berakhir dengan “Cina”. Label-label ini akhirnya dijenamakan sebagai “DAP”.

Muncul pula watak adiwira berjenama “Islam”. Semua perlu sokong wira ini demi menghalang penguasaan penjahat terhadap Tanah Melayu. Dengan itu, lafaz ijab dan qabul dimeterai, lalu terjuallah undi orang Melayu.

Meskipun politik kotor dan perkauman sempit menjadi perosak kepada perpaduan, masih ada yang sanggup bermain dengannya demi kepentingan politik mereka. Puluhan negarawan menyumbang bakti demi membina “bangsa Malaysia yang bersatu”.

Dasar-dasar bersifat integratif digubal demi mencapai hasrat ini. Namun, keluhan peluh mereka hanya mampu membentuk perpaduan antara kaum sahaja. Pada perpaduan inilah kita berpaut mengharapkan ia kekal.

Sayang sekali apabila ada pihak yang cuba merobohkan perpaduan ini demi kepentingan pribadi. Mereka yang memecah-belahkan masyarakat harus diperangi.

Meregangkan hubungan antara kaum adalah satu dosa. Baik mereka berselindung atas nama agama atau nama tuhan sekalipun, mereka perlu diperangi segera.

Fitnah, Propaganda, sentimen dan yang sejenis dengannya perlu dineutralkan. Jika ia bercampur baur dengan api perkauman maka ia adalah ancaman kepada kesatuan ummah al-wataniyyah (persaudaraan setanahair).

Sudah tentu saya seorang tidak mampu meneutralkan semua sentimen ini. Namun, saya tertarik untuk menjawab dua daripadanya:

Sentimen 13 Mei

Sentimen 13 Mei dibawa semula pada PRU kali ini untuk menakut-nakutkan pengundi. Sentimen ini dimainkan begitu simplistik.

Jika kamu undi parti merah maka akan berlaku 13 Mei tetapi jika kamu undi parti hijau maka tidak berlaku. Tidak masuk akal. Punca peristiwa 13 Mei adalah persepsi. Persepsi buruk antara kaum ketika itu menyebabkan pergaduhan kemudian rusuhan.

Persepsi antara kaum tiada kaitan langsung dengan parti yang kamu undi. Propaganda menimbulkan persepsi buruk. “Cina adalah komunis”, “Cina mahu hapuskan Islam dan sultan”, “Cina akan kuasai ekonomi”.

Itu semua propaganda yang menyebabkan persepsi orang Melayu kepada orang Cina berubah. Propaganda bodoh ditambah dengan kenaifan pengundi muda, maka terlahirlah golongan ekstremis.

Kononnya mahu pertahankan tanah air, keris diangkat parang diasah. Jika berlaku rusuhan antara kaum sekali lagi, ia bukan disebabkan kemenangan parti tertentu.

Namun, ia disebabkan golongan ekstremis yang dicipta oleh Pakar Propaganda Negara lulusan Universiti Malaikat.

Sentimen jawatan kepada non-Muslim

Turut dimainkan isu jawatan kepada orang Cina. Isu ini dimainkan sehingga pimpinan DAP mengeluarkan kenyataan mereka rela tidak diberikan apa-apa jawatan dalam kerajaan.

Sepatutnya tidak menjadi masalah untuk “non Muslim” menjadi menteri. Pada zaman kerajaan Abbasiyyah mereka melantik orang kafir sebagai menteri pelaksana.

Pada ketika itu, orang kafir diberi gelaran “dhimmy” (yang dilindungi) kerana status mereka yang ditawan oleh kerajaan Abbasiyyah.

Tentu sekali kewarganegaraan mereka tidak setaraf dengan orang Islam. Namun, mereka tetap diberi peluang menjawat jawatan menteri.

Di Malaysia pula kita berbeza. Orang Cina dan India masing-masing merupakan “co-founder” kepada negara ini. Maka kewarganegaraan mereka adalah setaraf dengan kewarganegaraan orang Melayu.

Jika mereka layak, mereka memang patut diberi jawatan menteri. Hak dan tanggungjawab perlu dikongsi sama rata kepada kaum lain.

Itulah nilai Islam, berlaku adil walaupun berbeza agama. Jika kita tidak berlaku adil hanya kerana agama dan kaum mereka, maka itu diskriminasi dan rasis.

Sentimen sebenarnya mudah dijawab. Dengan menceritakan perkara sebenar ia sepatutnya cukup untuk meneutralkannya. Selebihnya terpulang kepada kecerdikan masyarakat, mahu akui kebenaran itu atau tidak.

Manifesto perlu diketengahkan, prinsip perlu dibawa bersama. Sentimen perkauman perlu dihentikan. Penunggang agama perlu diperangi.

Kita mahasiswa, golongan bijak pandai, orang yang intelek. Berbakti kepada masyarakat menjadi misi penting kita. Melindungi mereka daripada sentimen bodoh adalah tanggungjawab yang perlu dilunaskan.

Jika dulu Melayu malas dan mudah lupa, kini Melayu malas, mudah lupa dan jahil.

*IMAN HAZIM KAMARUDIN merupakan aktivis mahasiswa Harmoni Malaysia.