Malaysia Dateline

Jamaah pulang dari umrah tidak patuh SOP, Covid-19 tular di kalangan keluarga

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaludin berkata, ketidakpatuhan kepada SOP yang ditetapkan sewaktu melakukan kuarantin di rumah telah menyebabkan penularan kes Covid-19.

Antaranya, individu yang dikuarantin di rumah tidak dibenarkan menerima tetamu, tetapi ada yang tidak mematuhi peraturan ini.

“Individu yang dikuarantin TIDAK DIBENARKAN menerima kunjungan daripada ahli keluarga, sahabat handai dan jiran tetangga semasa tempoh kuarantin,” kata Khairy dalam sidang medianya pagi ini.

Menurut Khairy, ada kes yang berlaku di mana orang yang dikuarantin selepas pulang dari umrah telah diziarahi oleh ahli keluarganya yang lain.

“Ia telah menyebabkan jangkitan berlaku,” kata beliau.

Menurut beliau, kebanyakan jamaah umrah yang pulang dari tanah suci telah memohon untuk menjalani tempoh kuarantin di rumah.

Namun, apabila peraturan ini tidak patuhi, maka telah berlaku penularan di kalangan ahli keluarga mereka, kata Khairy.

Semalam Khairy memaklumkan, perjalanan umrah telah digantung buat sementara mulai 8 Januari ini sehingga waktu ditetapkan ekoran ramai antara yang pergi umrah terkena Covid-19.