Malaysia Dateline

Jamal, 7 pekerja dibebaskan dengan jaminan polis

Pengerusi Gabungan Gerakan Merah Malaysia Datuk Seri Jamal Md Yunos dan tujuh pekerjanya yang direman sejak Jumaat lepas dibebaskan pada 7 petang semalam.

Dalam satu kenyataan di sini hari ini, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Fadzil Ahmat berkata mereka dibebaskan dengan jaminan polis.

Jamal bersama pemandu dan pengawal peribadinya serta lima yang lain ditahan polis di Sekinchan, Sabak Bernam, dekat sini susulan tindakan memecahkan botol arak di depan Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor di Shah Alam, pada Khamis lepas.

Kesemua mereka ditahan di bawah Seksyen 143 Kanun Keseksaan iaitu menyertai satu perhimpunan haram dan dibaca bersama Seksyen 268 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kemudaratan awam ekoran tingkah laku yang dilakukan oleh peserta perhimpunan.

Dalam insiden di depan pintu masuk utama bangunan SUK itu, Jamal dan pengikutnya bertindak memecahkan kira-kira 100 botol minuman keras sebagai simbolik bantahan terhadap sebarang penganjuran pesta arak di Selangor.

Mereka bertindak sedemikian ekoran kenyataan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang dilapor berkata penganjuran pesta makanan dan minuman Jerman termasuk arak yang dijadual berlangsung di sebuah pasar raya di Klang minggu depan boleh dibenarkan sekiranya menepati syarat dan peraturan yang ditetapkan oleh polis serta Majlis Perbandaran Klang.