Jamal belum hubungi,temui polis lapor diri

Jamal belum hubungi,temui polis lapor diri

Pengerusi Gabungan NGO Malaysia, Datuk Seri Jamal Md. Yunos masih belum hadir melaporkan diri kepada polis selepas didakwa ‘hilang’ dari Hospital Pakar Ampang Puteri, Ampang sebelum menyelesaikan proses dokumentasi jaminan mahkamah, Jumaat lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, setakat ini pihaknya masih belum menerima sebarang maklumat mengenai kehadiran Jamal yang didakwa atas tiga pertuduhan yang mana mahkamah menawarkan jaminan sebanyak RM3,000 bagi setiap kes.

“Setakat pagi ini, Datuk Seri Jamal belum hadir (hubungi atau lapor diri kepada polis),” katanya dengan ringkas menerusi aplikasi WhatsApp di sini hari ini lapor Utusanonline.

Pada 25 Mei lalu, Jamal mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan mudarat awam dengan memecahkan sejumlah botol arak menggunakan penukul besi tahun lalu.

Jamal, 48, membuat pengakuan tersebut dalam satu prosiding yang dijalankan di hadapan Majistret Mahkamah Shah Alam, Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin di wad Premier, Tingkat 4, Hospital Pakar Ampang Puteri.

Jamal didakwa telah melakukan mudarat awam itu sehingga mendatangkan bencana, bahaya dan kegusaran awam di depan pintu pagar keluar pos (1) Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (SUK), Shah Alam dekat sini pada pukul 10.15 pagi, 5 Oktober tahun lalu.

Bagaimanapun, Jamal dalam satu kenyataan semalam menafikan beliau melarikan diri daripada hospital tersebut selain menyifatkan ia merupakan isu salah faham.

Sebaliknya, beliau menyatakan pergi ke bangunan Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) untuk mengeluarkan wang bagi membiayai kos reman kerana beranggapan proses ikat jamin telah selesai.

COMMENTS

Wordpress (0)