Malaysia Dateline

Jamal ditahan polis di bawah akta senjata api

Polis hari ini menahan Ketua Umno Bahagian Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos bagi membantu siasatan kes berkaitan senjata api.

Ketua Polis Selangor Datuk Mazlan Mansor berkata ahli politik itu ditahan pada 1.15 tengah hari di Hospital Pakar Ampang Puteri, Ampang.

Tangkapan itu susulan satu laporan yang diterima polis pada 12 Mei lalu menyatakan Jamal dengan sengaja mempamerkan senjata apinya dalam satu gambar yang kemudian tular, katanya dalam kenyataan di sini.

Katanya kes itu disiasat menurut Seksyen 34 Akta Senjata Api 1960.

Mengulas lanjut, Mazlan berkata penahanan dilakukan di hospital tersebut memandangkan pengerusi Gabungan NGO 1Malaysia berkenaan sedang menerima rawatan di situ.

Menurutnya Jamal juga sedang disiasat berhubung beberapa kes lagi termasuk dua waran tangkap yang akan dilaksanakan terhadap beliau sebaik sahaja selesai menerima rawatan.