Jamal terus didakwa sejurus tiba di Kuala Lumpur

Jamal terus didakwa sejurus tiba di Kuala Lumpur

Polis akan membawa Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Yunos ke Mahkamah Ampang, sebaik beliau tiba di tanah air pada jam 2 petang ini.

Jamal yang ditahan di Tebet, Jakarta Selatan, Indonesia, pada 2 Julai lalu diiringi beberapa pegawai Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.

Ketua Polis Selangor Datuk Mazlan Mansor berkata, tindakan itu bagi mempercepatkan proses pertuduhan yang dikenakan ke atasnya sebelum ini mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

“Setakat ini kita akan mendakwanya atas beberapa kesalahan yang dipercayai dilakukan Jamal termasuk siasatan mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan atas kesalahan melarikan diri daripada tahanan polis.

“Selain itu Jamal juga akan berhadapan dengan semua waran tangkap yang sudah dikeluarkan sebelum ini,”katanya ketika dihubungi, hari ini.

Jamal sebelum ini ditahan oleh sepasukan pegawai Polis Negara Republik Indonesia (Polri) selepas Polis Diraja Malaysia (PDRM) meminta bantuan negara jiran berkenaan mengesan dan memberkas Jamal ketika dia berada di Indonesia.

Sebaik ditahan, Jamal kemudian disiasat oleh Polis Antarabangsa Indonesia (Interpol Indonesia) dan diserahkan kepada Jabatan Imigresen Indonesia untuk tindakan serta proses pengusiran.

Semalam, IPK Selangor menghantar pegawainya ke Jakarta sejurus proses dokumentasi oleh Jabatan Imigresen Indonesia selesai dijalankan.

Jamal menghilangkan diri semasa dalam tahanan reman ketika mendapatkan rawatan di Hospital Pakar Ampang Puteri, Ampang pada 25 Mei lalu.

Tidak lama selepas itu, pihak polis mengeluarkan waran tangkap ke atas Jamal berkuat kuasa 1 Jun lalu.

Semasa menghilangkan diri, Jamal mengeluarkan beberapa klip video dengan memberikan alasan tindakannya bersembunyi di beberapa lokasi yang tidak diketahui.

COMMENTS

Wordpress (0)