Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md. Yunos hari ini berkata beliau tidak akan bertanding untuk kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri pada pilihan raya umum kali ini.

Jamal berkata, beliau mendapat cadangan untuk bertanding di kawasannya atau kawasan lain tetapi beliau memilih untuk tidak bertanding.

“Saya tidak bertanding akan dapat membantu rakan-rakan di Selangor.

“Kerusi memang ada di kawasan saya dan kawasan lain. Tetapi saya memilih untuk tidak bertanding sebagaimana kenyataan saya sebelum ini yang konsisten.

“Saya akan pastikan sekurang-kurangnya 9 kawasan parlimen akan dimenangi BN,” ujarnya yang juga Pengarah Pilihan Raya Parlimen Sungai Besar.

Sebelum ini Jamal pernah membayangkan beliau akan bertanding di Dun Bukit Antarabangsa untuk  mencabar kerusi yang disandang  Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali pada PRU13 lalu sekiranya Azmin masih mempertahankan kerusi tersebut pada PRU14.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian pada 9 Mei manakala penamaan calon pada 28 April.

Terdahulu, Jamal yang juga Pengerusi Gabungan NGO 1Malaysia membuat laporan polis berkaitan fitnah isu perkauman yang disebarkan di media sosial menggunakan akaun Facebook palsu nama beliau.