Jamal usahakan kerja amal NGO, korporat bagi makan tengahari percuma untuk rakyat

Jamal usahakan kerja amal NGO, korporat bagi makan tengahari percuma untuk rakyat

Keinsafan yang tercetus ketika mengiringi  jenazah rakan perniagaannya yang meninggal dunia ke tanah perkuburan telah membuahkan idea kepada Datuk Seri Jamal Md Yunos untuk mengumpulkan dana dikalangan NGO dan ahli korporat untuk melakukan program amal jariah dengan memberi makan percuma kepada warga kota.

Pengerusi Gabungan NGO Gerakan Merah Malaysia itu berkata, tujuannya adalah untuk melakukan sedekah yang disertai dikalangan rakan-rakan dalam NGO dan ahli kororat serta individu yang mahu bersama mengembling tenaga untuk melaksanakan program secara berterusan ini.

“Tujuan mengadakan ‘program makan percuma’ ini datang daripada sedekah rakan-rakan dari NGO dan ahli korporat. Selain ia bertujuan untuk mengurangkan beban perbelanjaan warga kota terutama dikalangan golongan gelandangan, orang miskin dan miskin bandar untuk menikmati makan tengahari secara percuma.

“Kita bermula dengan makan tenghari dan sekiranya ia mendapat sambutan kita akan menyediakan makanan percuma untuk makan malam,” ujarnya kepada Malaysia Dateline.

Program Makan Tengahari Percuma ini akan diadakan di lokasi berhampiran Jalan Pahang bersebelahan Shell dan Mc Donald setiap hari Isnin hingga Jumaat bermula jam 11 pagi hingga 3 petang.

Jamal yang juga Ketua Umno Bahagian Sungai Besar ini berkata, usaha yang beliau lakukan bersama rakan-rakan NGO dan korporat bukanlah bertujuan untuk menarik sokongan politik sebaliknya ia sebagai amal jariah yang dilakukan untuk rakyat yang kurang berkemampuan melalui zakat perniagaan yang disalurkan kepada tujuan amal jariah ini.

“Setiap hari kita akan menyediakan anggaran 1,000 orang yang akan datang untuk makan dan minum secara bufet dengan menu hidangan yang menjadi pilihan orang ramai untuk makan tengahari.Ia adalah menu pilihan rakyat yang akan kita masak setiap hari.

“Kebiasaannya jika saya makan tengahari dengan satu lauk seperti ikan kari atau ikan goreng dan sayur serta teh o ais sudah RM8 sekali makan. Menu makan tengahari kita ini akan dipelbagaikan mengikut menu rakyat.

“Mereka boleh duduk makan disitu dan boleh tambah makan jika mereka mahu tetapi tidak boleh dibungkus,” ujarnya.

Beliau dijangka akan melancarkan program makan percuma ini pada 16 Oktober depan.

Bagi mana-mana NGO, ahli korporat yang mahu membabitkan diri menyumbang dalam program makan percuma ini boleh menghubungi beliau sendiri.

“Saya tidak melantik mana-mana agen untuk mengumpul dana bagi tujuan program makan percuma ini.

“Setakat ini kita sudah mendapat penajaan beras percuma daripada sebuah syarikat untuk menyumbangkan beras bagi tujuan program ini. Kita masih lagi memerlukan sumbangan untuk meneruskan program ini secara berskala besar bagi memperluaskan program makan percuma ini ke beberapa negeri lain,” ujarnya.

5.0
OVERALL SCORE
: 5.0
Have no any user vote