Jamal wajar direman, isu judi haram harus dibanteras

Jamal wajar direman, isu judi haram harus dibanteras

Tindakan pihak polis menahan reman Ketua Umno Bahagian Sungai Besar  Datuk Seri Jamal Md Yunos adalah wajar bergantung kepada kesalahan yang dilakukannya, kata  pemimpin Umno Selangor.

Datuk Mat Nadzari Ahmad DahlanTindakan pihak polis menahan reman Ketua Umno Bahagian Sungai Besar  Datuk Seri Jamal Md Yunos adalah wajar bergantung kepada kesalahan yang dilakukannya, kata  pemimpin Umno Selangor.

Timbalan Pengerusi Perhubungan Negeri Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan bagaimanapun  berkata, isu membabitkan Pengerusi Gerakan NGO Malaysia itu harus dilihat dari sudut perjuangan yang dilakukan bersama rakan-rakan NGO lainnya.

“Kewajaran tangkapan dilakukan pihak polis bergantung kepada kesalahan dilakukannya.

“Tetapi dari segi perjuangan dan niat, saya melihat beliau ingin menyumbang kepada penghapusan premis judi haram di Selangor yang merosakkan dan menjahanamkan sistem sosial masyarakat haruslah dibanteras.

“Kia semua tahu dan lihat bagaimana tindakannya dan rakan-rakan lain menunjukkan ketidakpuasan hati mereka apabila tiada sesiapa atau pihak berwajib bertindak,” ujarnya kepada Malaysia Dateline.

Wakil rakyat Batang Kali ini berkata, pihak berwajib seharusnya mengambil tindakan terhadap premis judi haram ini dihapuskan.

“Pihak berwajib kenalah adil dan cepat memberikan keadilan terutama kepada orang awam yang bertindak seperti apa dilakukan oleh Jamal dan rakan-rakannya.

“Lagi lambat mereka response lagi marah orang ramai maka macam-macamlah tindakan luar biasa yang mereka akan lakukan,” ujarnya.

Jamal  hari ini ditahan reman lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung serbuan ke atas beberapa premis perjudian di sekitar Selangor.

Majistret Mohamad Firdaus Sadina Ali membenarkan permohonan polis untuk menahan reman Jamal sehingga 7 Februari ini.

Di luar Mahkamah Majistret Ampang pagi tadi, peguam Zamri Idrus yang mewakili Jamal memberitahu media bahawa anak guamnya disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan.

Beliau berkata Jamal ditangkap disebabkan satu laporan polis terhadap anak guamnya itu dan tempoh tahanan reman tersebut dikeluarkan kerana polis memerlukan masa untuk melengkapkan kertas siasatan.

Jamal ditahan di kediamannya pada 3 petang semalam.

Pada Disember tahun lalu, Jamal bersama beberapa yang lain telah “menyerbu” beberapa premis yang disyaki olehnya menjalankan kegiatan judi haram di Taman Kosas Ampang, Selangor.

TAGS