Jambatan Angkat Kuala Terengganu di buka hari ini

Jambatan Angkat Kuala Terengganu di buka hari ini
Jambatan Angkat beroperasi sepenuhnya hari ini.- Foto Kosmo.

Jambatan Angkat (Drawbridge) Kuala Terengganu City Centre (KTCC) akan dibuka kepada orang awam mulai jam 6.00 pagi pada 1 Ogos 2019.

Kerajaan negeri telah melantik Terengganu Incorporated Sdn Bhd sebagai operator, manakala pihak kontraktor utama masih berada di tapak projek untuk memberi latihan sehingga 30 September ini.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Rabu berkata, semua jenis kenderaan dibenarkan menggunakan laluan di jambatan berkenaan.

Bagaimanapun, pengguna tidak dibenarkan meletakkan kenderaan atau berhenti bagi mengelak kesesakan serta mengganggu kelancaran aliran trafik.
Para pengunjung yang ingin melawat diminta meletakkan kenderaan mereka di ruang parkir yang disediakan di bawah jambatan dan menggunakan tangga atau lif.

Menurut Ahmad Samsuri, ruang komersial di ‘sky bridge’ masih belum dibuka dan pengunjung tidak dibenarkan memasuki ruang lobi dan menggunakan tangga atau lif di menara jambatan tersebut.

Beliau berkata, pembukaan jambatan ikonik itu bakal memberi impak kepada sektor pelancongan negeri dengan memberi nilai tambah.

Ia seterusnya mampu merangsang pertumbuhan ekonomi rakyat di samping memperkenalkan Terengganu di mata dunia.

Jambatan angkat pertama di Asia Tenggara sepanjang 638 meter itu mula dibuka kepada orang awam untuk percubaan pada 2 hingga 17 Jun lalu.

Jambatan bernilai RM248 juta itu menghubungkan muara selatan di pusat bandar raya Kuala Terengganu dan muara utara di Seberang Takir.