Jambatan bengkok amat perlu dibina demi kepentingan rakyat, kata peguam

Peguam, Kamal Hisham Ja’afar menyifatkan syor membina semula jambatan bengkok bagi menggantikan Tambak Johor perlu diteruskan demi kepentingan rakyat.

Berkongsikan pengalamannya yang terlibat dalam peringkat awal projek sepanjang 1.4 kilometer itu, beliau antara yang mengaku kecewa apabila dibatalkan pada 2006.

Beliau mendedahkan sikap tamak individu tertentu menyebabkan projek mega itu dibatalkan walaupun dilihat dapat melancarkan aliran lalu lintas Malaysia – Singapura dan membolehkan kapal dagang melalui Selat Tebrau sekali gus merancakkan industri perkapalan dan pelabuhan negara iaitu Tanjung Pelepas dan Pasir Gudang.

“Pasti rakyat terkejut dan kecewa jika mengetahui apakah “alasan sebenar” kenapa Projek Jambatan Bengkok ini dibatalkan dahulu.

“Alasan ini tidak tersenarai dalam kenyataan akhbar dan hanya “orang-orang tertentu” mengetahui kebenarannya. Saya adalah salah seorang Pengarah dan penggerak projek mega ini dengan nilai kontrak keseluruhan RM2.3 bilion.

“Saya adalah antara insan berdukacita apabila pembinaan jambatan dibatalkan oleh Pak Lah.

“Idea dan hasrat yang bijak oleh Tun Mahathir tergendala pada masa itu di atas ketamakan segelintir manusia yang durjana yang mengutamakan kepentingan pribadi berbanding dengan kepentingan rakyat,” dipetik dari catatan beliau di Facebook.

Untuk rekod, perancangan awal jambatan lurus yang akan dinamakan sebagai Jambatan Indah itu kemudian diubah menjadi ‘bengkok’ kerana Singapura tidak mahu mengubah struktur penghubung di sempadan negaranya.

Mengulas lanjut, Kamal Hisham, 48, menyambut baik pengumuman kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk menyambung semula pembinaan jambatan yang diilhamkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini.

“Satu rahmat kepada rakyat Malaysia jika mengetahui alasan yang tersurat dan tersirat tujuan sebenar kenapa ianya amat perlu dibina.

“Zaman telah berubah, suara dan kehendak rakyat perlu didengar dan diberi keutamaan. Kuasa rakyat adalah Keramat.

“Saya menyokong penuh keputusan bijak untuk membina semula jambatan ini,” tambah Kamal Hisham lagi.

Untuk rekod, Mahathir pada 5 Julai 1996 mencetuskan idea untuk merobohkan Tambak Johor yang menjadi pintu masuk selatan negara dan diganti dengan jambatan baru.

Pada 13 Jun 2004, Malaysia memulakan kerja pembinaan fasa awal selepas hampir tiga tahun Malaysia dan Singapura bersetuju dengan cadangan tambahan negara ini.

Walau bagaimanapun, keputusan sama ada meneruskan atau membatalkan pembinaan jambatan itu terus berlarutan dan bergantung kepada hasil rundingan dengan Singapura.

Sehinggakan pada 2005, Singapura masih tidak memberi kata putus berkaitan projek itu ketika Malaysia bertegas mahu meneruskannya.

Singapura pada 6 Februari 2006 kemudiannya meletakkan dua syarat iaitu menjual pasir kepada republik itu dan membuka ruang udara Johor untuk keperluan latihan jet pejuangnya.

Kamal Hisham Ja”afar bersama Tun Dr Mahathir.

10.0
OVERALL SCORE
: 10.0
1 user vote x 10.0