Malaysia Dateline

Jambatan Labuan-Menumbok diserahkan pada JKR untuk RFP, kata Khalid

Projek Pembinaan Jambatan yang akan menghubungkan Labuan dan Menumbok di Sabah akan diserahkan kepada Kementerian Kerja Raya (JKR) bagi mengendalikan proses memanggil tender Permintaan Untuk Cadangan (RFP) projek itu.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad, berkata, oleh kerana jambatan tersebut membabitkan dua negeri, maka pelaksanaan projek diserahkan kepada pihak JKR.

“Projek Labuan kita sudah bincang dengan kerajaan Sabah, projek ini tidak boleh ditangani oleh kementerian Wilayah semata-mata.

“Projek ini diserahkan kepada pihak Kementerian Kerja raya dan perjumpaan di antara Perbadanan Labuan, Kementerian Wilayah dan juga Kerajaan Negeri Sabah telah pun dilakukan.

“Kita harap Kementerian Kerjaraya akan memanggil RFP itu dalam tahun ini. Oleh kerana ia masuk Sabah, jambatan itu ‘landing’ Sabah, kita kena masukkan sekali kerajaan negeri Sabah.

“Bila kerajaan Negeri Sabah terlibat, kita serah kepada Kementerian JKR,” katanya dalam sidang media di Menara DBKL, hari ini.

Untuk rekod, projek yang dianggarkan bernilai RM3-4 bilion itu akan melibatkan pembinaan jambatan sepanjang 10km yang menghubungkan Menumbok dengan Pulau Daat, Labuan.