Jambatan Manong, Amanah persoal janji bina tanpa jadual

Jambatan Manong, Amanah persoal janji bina tanpa jadual

Kerajaan Barisan Nasional (BN) harus menyatakan bila Jambatan Manong, Kuala Kangsar akan mula dibina dan disiapkan bukan hanya mengumumkan peruntukan untuk pembinaan jambatan tersebut.

Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Perak Asmuni Awi berkata, kerajaan BN sentiasa mengumumkan janji-janji manis setiap kali pilihan raya namun pelaksanaannya tiada.

“Walaupun BN berkata mereka memperuntukkan RM43.5 juta untuk jambatan Manong tapi yang kita nak adalah mereka jawab bila nak bina dan bila boleh siap.

“Peruntukan itu dia boleh bagi begitu sahaja di merata tempat tapi akhirnya kita tak nampak apa-apa pelaksaan.

“Saya katakan ini satu lagi janji politik selagi mana tidak dijawab bila jambatan itu nak dibina,” katanya dalam sidang media di pejabat Amanah Kuala Kangsar hari ini.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan peruntukan RM43.5 juta bagi pembinaan Jambatan Manong, Kuala Kangsar bagi memudahkan penduduk menyeberangi Sungai Perak.

Najib berkata Jambatan Manong ini akan menghubungkan Kampung Seberang Manong ke Pekan Manong di daerah itu.

Asmuni turut mempersoal sumber peruntukan yang diumumkan sedangkan ia tidak pernah diluluskan dalam belanjawan kerajaan.

“Bila masa peruntukan 43 juta itu diluluskan. Datang dari Rancangan Malaysia yang mana?

“Ini satu lagi cara Umo BN meredakan suasana di Manong apabila rakyat sedar bahawa mereka sentiasa ditaburi dengan janji manis tapi tak dilaksanakan,” katanya.

COMMENTS

Wordpress (0)