Jambatan Pulau Setelu sukar dibaiki dalam keadaan segera

Jambatan Pulau Setelu sukar dibaiki dalam keadaan segera

Jambatan Pulau Setelu yang menghubungkan Jeli dengan Gua Musang dijangka tidak dapat dibaiki sehingga musim tengkujuh tamat.

Jambatan itu yang ditutup seminggu lalu sukar dibaiki, walaupun kini paras air sungai-sungai utama termasuk Sungai Nenggiri telah mulai surut.

Tinjauan petang semalam mendapati masih ada pengguna yang tidak menyedari penutupannya terpaksa membelok semula bila tiba di situ.

Seorang pemandu yang kerap mengguna laluan itu, Muhamad Hanafi Muhd Hasan berkata dalam keadaan sekarang pembaikan tidak boleh dilakukan kerana jambatan sementara itu sangat rendah.

Muhamad Hanafi Muhd Hasan

“Bila hujan lebat sekejap sahaja di bahagian hulu, jambatan itu akan ditenggelami air sungai,” katanya.

Jambatan itu katanya rosak teruk minggu lalu apabila beberapa tiangnya patah dilanggar sisa-sisa kayu balak.

“Ini satu lagi sebab pembaikan hampir mustahil kerana bila hujan lebat dan arus menjadi laju, sisa-sisa kayu balak atau dahan-dahan serta serpihan kayu-kayu akan turun dari hulu dan melanggar jambatan itu,” katanya.

Sekarang katanya, bulan Disember baru bermula dan musim tengkujuh berdasarakan tahun-tahun lepas boleh berlanjutan hingga hujung Januari.

“Ini tentulah akan membawa kesusahan besar kepada para pengguna jalan ini terutama yang terlibat dalam perniagaan macam saya.

“Dari Jeli kita terpaksa melencong jauh ke simpang tiga Sungai Sam untuk ke Gua Musang.

“Dengan kos bahan api yang tinggi sekarang orang ramai akan semakin tertekan,” katanya.

0.0
OVERALL SCORE
Have no any user vote
CATEGORIES