Jambatan Pulau Setelu tenggelam lagi, paras air Kuala Krai lepasi bahaya

Jambatan Pulau Setelu tenggelam lagi, paras air Kuala Krai lepasi bahaya

Hujan lebat di bahagian hulu Kelantan sejak pukul 10 malam tadi menyebabkan jambatan sementara Pulau Setelu di Gua Musang yang menghubungkan penduduk di 10 kampung sekali lagi ditenggelami air.

Hujan lebat di bahagian hulu Kelantan sejak pukul 10 malam tadi menyebabkan jambatan sementara Pulau Setelu di Gua Musang yang menghubungkan penduduk di 10 kampung sekali lagi ditenggelami air.

Sumber memberitahu Malaysia Dateline, paras air di Sungai Nenggiri dirintangi jambatan itu kembali meningkat dengan anggaran satu meter ekoran hujan lebat sehingga pagi ini.

Sisa kayu yang didakwa kesan daripada pembalakan dan Ladang Hutan di jajahan itu turut dilihat menghimpit jambatan tersebut sekaligus menyebabkan pengguna jalan raya Gua Musang – Jeli terperangkap.

Difahamkan, jambatan yang rendah tanpa penghadang konkrit yang dibina selepas jambatan asal musnah dalam banjir besar pada Disember 2014 itu sudah tiga kali ditenggelami air sungai tahun ini manakala lima kali pada tahun lalu.   

Dalam perkembangan berkaitan, keadaan bah di Kelantan dilapor tidak banyak berubah dengan seramai 360 mangsa banjir di jajahan Kuala Krai, Gua Musang, Pasir Puteh dan Tanah Merah dipindahkan ke 11 pusat penempatan sementara setakat 8 pagi ini berbanding 343 mangsa malam tadi.

Aplikasi infobanjir Jabatan Kebajikan Masyarakat melaporkan seramai 239 mangsa banjir daripada 59 keluarga ditempatkan di tujuh pusat pemindahan di Kuala Krai manakala 78 orang (19 keluarga) di dua pusat pemindahan di Gua Musang.

Di sebuah pusat pemindahan di Pasir Puteh pula menempatkan 25 orang daripada lima keluarga serta 18 lagi mangsa banjir (empat keluarga) di sebuah pusat pemindahan di Tanah Merah.

Mengikut portal ebanjir.kelantan.gov.my, paras air Sungai Kelantan di Tangga Krai, Kuala Krai setakat pukul 9 pagi tadi berada pada 25.30 meter (m) iaitu melepasi paras bahaya 25m manakala laporan bacaan di Dabong, Sungai Galas berada di paras 37.06m iaitu melebihi tahap amaran 35m.

Sementara itu, taburan hujan tertinggi setakat pukul 9 pagi tadi di Tualang, Kuala Krai iaitu 17 milimeter (mm) manakala Kampung Laloh, Kuala Krai dicatatkan pada 13mm. 

TAGS