Jambatan sempit punca kemalangan

Jambatan sempit punca kemalangan

“Kemalangan kerap berlaku sebab jambatan itu sempit hanya muat satu kereta saja,” begitulah luahan Abdullah bin Ilias, 45, yang mengadu berkenaan jambatan sempit di Kampung Bindu, Tongkang Pechah Batu Pahat Johor.

Jambatan yang berusia lebih tiga puluh tahun itu telah beberapa kali dimohon oleh penduduk untuk dinaik taraf atas faktor keselamatan.

Ini kerana jalan kampung tersebut hari ini sudah semakin sesak dengan kenderaan berat serta kenderaan kecil yang menjadikan jalan tersebut sebagai jalan pintas antara pekan Tongkang Pechah ke bandar Batu Pahat.

Abdullah berkata, jambatan berkenaan adalah jambatan utama untuk menyeberangi sungai di sepanjang jalan kampung Bindu itu dan ia tidak pernah dibesarkan selama ini, hanya janji kosong dari Ahli Parlimen BN Sri Gading.

“Jambatan tu adalah jambatan penghubung jalan dan ia bukannya jambatan biasa, cuba kita bayangkan kereta dua hala, salah satunya terpaksa berhenti untuk beri laluan satu sama lain jika nak menyeberangi jambatan tersebut.

“Di waktu puncak kadang-kadang jalan di kampung ini akan teruk sesak, yelah mana tak sesak semuanya beratur tunggu giliran untuk seberang jambatan tu, ini semua tak masuk akal bila jalan di hala jadi satu lorong bila bertembung di jambatan tersebut,” luah Abdullah Ilias yang kecewa dengan keadaan jambatan tersebut.

Dalam pada itu, seorang lagi penduduk kampung, Mahmood bin Idris, 53, turut memberi pandangan yang sama berkenaan masalah jambatan yang dibina betul-betul di hadapan rumah beliau.

Mahmood turut meluahkan rasa kecewa beliau berkenaan dengan janji-janji yang diberikan Ahli Parlimen Sri Gading sebelum ini yang seolah-olah menjadikan luahan orang kampung sebagai suatu cakap kosong tanpa memikirkan soal keselamatan penduduk.

“Sudah berpuluh tahun jambatan ini terbina, saya ingat dah lebih tiga puluh tahun mana logik dengan keadaan sekarang yang keretanya banyak, lepas tu nak kena ikut jambatan yang sempit, memang ia cukup membimbangkan dan bila tersalah seberang, ada yang jatuh dalam sungai.

“Baru-baru ni berlaku kemalangan antara kereta dan lori, semuanya tak dipandang oleh Ahli Parlimen Sri Gading ni, apa yang dia tahu hanya tabur janji nak buat tapi sampai ke sudah tak buat-buat kerja besarkan jambatan tu,” luahan Mahmood Idris yang turut kecewa dengan masalah yang berlaku di kampung beliau.

Pengerusi Amanah Johor Aminolhuda Hassan ketika ditemui berkata, beliau akan membawa suara-suara orang kampung ini kepada pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi pihak JKR menimbang mengenai perkara membesarkan jambatan yang menjadi punca kemalangan di kampung Bindu ini.

“Saya telah melihat sendiri keadaan di jalan kampung Bindu ini, memang saya dapati terdapat permasalahan yang berlaku di jambatan tersebut dan saya akan membawa suara-suara orang kampung Bindu ini kepada pihak atasan bagi mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap jambatan tersebut sama ada membesarkan jambatan berkenaan atau sebaliknya,” katanya.

COMMENTS

Wordpress (0)