Jamilah balu Allahyarham Adenan calon BN di PRK Tanjong Datu

Oleh MALAYSIADATELINE

Puan Sri Jamilah AnuBalu Allahyarham Tan Sri Adenan Satem, Puan Sri Jamilah Anu, 62, dipilih sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Tanjong Datu, 18 Februari ini.

 Nama Jamilah diumumkan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Amar Abang Johari Abang Openg, selepas mempengerusikan mesyuarat khas majlis tertinggi parti itu di Ibu Pejabat BN Sarawak, Jalan Bako  jam 3.45 petang tadi.

Abang Johari yang juga Pengerusi BN Sarawak, berkata pemilihan itu dipersetujui sebulat suara oleh pucuk pimpinan PBB selain parti komponen BN Sarawak dan rakyat di peringkat akar umbi.

Malah, sekumpulan pemimpin masyarakat, termasuk Ahli Jawatankuasa PBB Tanjong Datu, turut serta dalam mesyuarat khas itu bagi mendapatkan pandangan akar umbi terhadap calon dipilih.

“Ia juga sebagai satu penghormatan terhadap sumbangan besar Adenan atau lebih dikenali sebagai Tok Nan, sekali gus menyambung legasi kepemimpinan Allahyarham, khususnya di kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Tanjong Datu,” katanya dalam satu kenyataan.

Lebih gemar membahasakan dirinya sebagai Kak Milah, beliau memiliki kriteria utama sebagai ‘calon boleh menang’ bagi BN dalam PRK Tanjong Datu kerana cukup disenangi rakyat peringkat akar umbi, selain memiliki aura suaminya.

“Wajah Jamilah tidak asing di Dun Tanjong Datu, malah seperti suaminya yang bersikap sederhana, beliau cukup disenangi rakyat di peringkat akar umbi.

“Biarpun tidak terbabit secara aktif dalam politik, namun beliau banyak mengiringi suaminya ‘turun padang’ bertemu rakyat ketika Allahyarham mewakili Dun Muara Tuang, Parlimen Batang Sadong hinggalah Dun Tanjong Datu,” katanya.

Beliau berkata, keputusan pemilihan itu turut mendapat ‘restu’ Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak selaku Pengerusi BN Pusat.

Kerusi Dun Tanjong Datu kosong susulan kematian Allahyarahm Adenan di Pusat Jantung Hospital Umum Sarawak (HUS), Kota Samarahan akibat komplikasi jantung, 11 Januari lalu.

Dalam Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN-11), 7 Mei tahun lalu, Allahyarham mengekalkan penguasaan di kerusi berkenaan, yang juga `kubu kuat’ BN Sarawak, dengan memperoleh majoriti 5,892 undi, menewaskan calon PKR, Jazolkipli Numan.

Dalam pada itu PKR dalam satu kenyataannya pada 25 Januari lalu, tidak akan meletakkan calonnya untuk pertahankan kerusi Tanjong Datu.

Pengerusi PKR Sarawak Baru Bian dipetik berkata keputusan itu juga sebagai memberi peluang kepada kerajaan negeri untuk melaksanakan semua janji yang dibuat oleh Allahyarham Adenan.

Beliau berkata PKR melihat sebahagian visi yang digariskan oleh bekas Ketua Menteri itu seiring dengan wawasan PKR serta aspirasi rakyat Sarawak, justeru wajar dilunas oleh penggantinya, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg.