Malaysia Dateline

Jaminan bekalan makanan: Tangani pemilik yang tidak usahakan tanah secara optimum

Kita makan dari hasil tanaman, penternakan, dan perikanan. Ketiga-tiga aktiviti ini ditadbir urusannya oleh Kementerian Pertanian.

Kalau mahu sumber makanan terjamin, negara mesti memastikan ketiga-tiga sektor ini menjadi sektor yang produktif dan inovatif.

Kementerian Pertanian mesti menjadikan produktiviti dan inovasi sebagai tema utama dalam segala urusan melibatkan perbekalan makanan.

Sumber utama pengeluaran makanan ialah tanah-tanah yang terlibat dalam sektor ini. Tanah tidak akan jadi produktif dengan sendiri. Ianya mesti diurus.

Tugas paling penting kementerian waktu ini ialah tanah-tanah pertanian diurus dari sudut produktivitinya. Ia memerlukan pendekatan yang inovatif.

Kajian juga mendapati kerosakan hasil tanaman lepas tuai (post harvest) adalah sekitar 25-30% sebelum sampai ke meja makan. Ini melibatkan keupayaan dan kecekapan logistik.

Walaupun aktiviti perikanan kebanyakan melibatkan tangkapan ikan laut, aktiviti ternakan ikan darat dan akuakultur menjadi semakin penting dan popular.

Pengeluaran hasil akuakultur lebih mudah dibuat unjuran berbanding hasil tangkapan laut yang semakin tidak menentu akibat perubahan cuaca dan pencemaran laut.

Sektor akuakultur juga memerlukan tanah, terutamanya tanah-tanah di pinggir laut dan sungai. Ya, tanah sering menjadi isu utama.

Pemilik-pemilik tanah yang tidak mengusahakan tanah secara optimum adalah ‘musuh’ besar dalam usaha menjamin bekalan makanan dalam negara. Ianya perlu ditangani segera.

Isu kepenggunaan tanah perlu ditangani dengan cepat dan berkesan oleh kerajaan.

Umar Al-Khattab RA pernah merampas tanah milik sahabat Nabi SAW kerana tanah itu tidak diusahakan, lalu diserahkan kepada orang lain yang berupaya memakmurkan tanah tersebut.

Umar juga pernah mengambil keputusan yang tidak popular dengan mengekalkan tanah-tanah yang subur di Iraq kepada pemilik asal yang bukan Muslim selepas kemenangan dalam perang Qadisiyyah.

Beliau tidak menyerahkannya kepada tentera Muslimin sebagai harta rampasan perang sepertimana amalan yang pernah dibuat oleh Ar Rasul SAW dalam peperangan sebelumnya.

Keputusan ini dibuat bagi memastikan bekalan makanan di wilayah tersebut tidak terganggu.

Untuk menjamin bekalan makanan, Kementerian Pertanian perlu berani melakukan reform ke atas urusan yang melibatkan tanah.

Baca juga ‘Tweet’ tular bukan dimuat naik akaun rasmi Perdana Menteri – JPM

Baca juga Mengerikan! Kanak-kanak terperangkap dalam lubang sedalam 122 meter