Malaysia Dateline

Janda, Minah rewang: AWAN kecam MB Kedah keluar kenyataan seksis

Keceluparan mulut MB Kedah Mohamad Sanusi Md Nor yang mengeluarkan kenyataan berbaur seksis ketika membela diri dalam isu pandu uji Ford Raptor di Pulau Pinang baru-baru ini, dikecam keras oleh ramai pihak.

Ketua Angkatan Wanita AMANAH Negeri Kelantan, Dr Hafidzah Mustakim berkata, ungkapan Sanusi yang mengaitkan istilah janda dan minah rewang itu amat tidak wajar dikeluarkan oleh individu berjawatan tinggi seperti MB Kedah itu.

“Sebagai wakil rakyat, berjawatan Menteri Besar pula, sangat tidak wajar kenyataan berbaur seksis ini dikeluarkan, walaupun dalam nada gurauan,” kecam Dr Hafidzah.

Beliau juga menasihatkan Sanusi supaya lebih bersopan santun dan menjaga integriti selaku Menteri Besar yang bertanggungjawab kepada seluruh rakyat Kedah, terutama golongan wanita.

“Bila Sanusi menjadikan janda dan minah rewang sebagai sebuah objek, ini tiada nilai akhlak Islam yang baik, padahal MB ini katanya datang dari sebuah parti mengaku pejuang Islam,” ulas Ketua AWAN Kelantan itu.

“Islam meletakkan wanita di martabat yang tinggi, Islam hadir menentang dan menghapuskan perbuatan seksis yang menjadi amalan kaum jahiliyah, adakah kita mahu teruskan amalan jahiliyah ini walaupun mulut mengaku pejuang Islam?” kecam beliau lagi.

AWAN Kelantan mendesak Sanusi supaya membuat permohonan maaf secara terbuka, terutama kepada golongan janda atau armalah, kerana keceluparan mulut MB Kedah itu sebelum ini yang cuba merendahkan martabat wanita melalui ungkapan janda atau minah rewang itu.