Malaysia Dateline

Jangan abai keselamatan guru semasa pandemik

Sejak pembukaan sesi persekolahan 2021, banyak reaksi daripada masyarakat berkaitan kelemahan yang berlaku kesan daripada perubahan kaedah mengajar dalam sistem pendidikan negara.

Kebanyakan isu yang banyak dibangkitkan ialah perihal kekangan murid untuk menyertai Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Namun, ada perihal lain yang kurang dibangkitkan memandangkan golongan ini adalah penjawat awam yang tidak boleh dipersoal tugas yang diberikan kepada mereka.

Hakikat sebenarnya, mereka sama pentingnya dengan murid dan sistem pendidikan itu sendiri.

Laporan media semalam menyatakan bahawa 21 guru didapati positif Covid-19 menyebabkan 10 buah sekolah di Terengganu ditutup selepas menghadiri satu bengkel pendidikan secara bersemuka.

Hal ini sangat membimbangkan memandangkan jangkitan itu berlaku semasa mereka menjalankan tugas.

Oleh itu, pihak KPM diseru untuk memperkemaskan SOP terhadap guru-guru semasa menjalankan tugas sama ada di sekolah mahupun di tempat lain selain di rumah.

Langkah ini penting memandangkan guru-guru juga dianggap petugas barisan hadapan yang terdedah kepada risiko jangkitan dalam masa yang sama mendidik murid-murid.

Guru juga mempunyai ahli keluarga dari kanak-kanak hinggalah kepada warga emas. Oleh sebab itu, wajar keselamatan guru diperketatkan.

Sementara itu, pertindihan tugas guru semasa PdP di sekolah dan PdPR juga harus dipandang serius oleh KPM.

Memandangkan guru yang mengajar PdP di sekolah juga perlu mengajar secara dalam talian melalui PdPR, maka kebarangkalian tugasan mereka bertindih dalam waktu yang sama.

Maka wajar KPM, mengeluarkan satu garis panduan yang jelas kepada pihak sekolah agar guru relief boleh membina jadual yang tidak ada pertindihan antara PdP dan PdPR.

Akhirnya, KPM perlu menilai prestasi pelaksanaan PdPR yang telah dilaksanakan hampir seminggu yang lalu. Penilaian ini termasuk mendengar keluhan guru-guru berkaitan dengan pelaksanaan PdPR.

Perubahan sistem pendidikan daripada kaedah lama kepada kaedah digital ini pastinya punya banyak kelemahan, memandangkan guru-guru kita tidak dilatih menggunakan pendekatan itu semasa mereka mengambil kursus pendidikan.

Yang penting adalah keterbukaan KPM untuk mendengar dan memberi maklum balas yang menyakinkan semua pihak, itu lebih munasabah.

*SYAZMIR HARIZ NOORAZALAN merupakan penulis politik, Tinta Siyasah.